Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Tiada 'cover up', siasatan dapati tiada penglibatan cucu TYT, isteri menteri - Saifuddin

Umavathi Ramayah 18/08/2025 | 05:55 MYT
Siasatan polis tidak menemui kaitan kematian Zara Qairina Mahathir dengan cucu TYT Sabah atau pengetua sekolah yang didakwa isteri menteri. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti didakwa sesetengah pihak.


Ringkasan AI
  • Siasatan polis tidak menemui kaitan kematian Zara Qairina Mahathir dengan cucu TYT Sabah atau pengetua sekolah yang didakwa isteri menteri.
  • Tiada bukti mangsa didera dalam mesin basuh seperti yang disebarkan, hasil keterangan daripada 195 saksi.
  • Polis menegaskan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan SOP, menolak dakwaan wujud usaha menutup kes.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia berdasarkan hasil siasatan membabitkan 195 saksi yang dipanggil.

Katanya, dapatan siasatan turut tidak menemui bukti mangsa meninggal dunia akibat didera dalam mesin basuh.

"Siasatan kita menyeluruh dan terperinci. Kali pertama isu ini dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada 30 Julai lalu, sudah timbul beberapa kenyataan seperti (pelaku) yang terbabit adalah cucu kepada TYT, pengetua adalah isteri menteri, dan cara mati didera di mesin basuh.

"Keadaan sudah jadi toksik seperti itu sekali. Siasatan polis tidak menemui semua itu. Tiada hasil keterangan 195 saksi, tidak ada sama sekali.

"Setiap tindakan yang diambil oleh pihak polis, pihak sekolah serta pegawai perubatan adalah berlandaskan maklumat yang ada pada ketika itu dan berpandukan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

"Memang wujud ketidakpatuhan seperti yang saya sebutkan tadi, namun ia sama sekali tidak menjejaskan integriti siasatan, apatah lagi apabila (Jabatan Siasatan Jenayah) Bukit Aman mengambil alih.

"Polis menjalankan siasatan tanpa sebarang 'drama' kerana matlamat utama adalah mencari kebenaran, dengan komitmen teguh untuk menegakkan keadilan.

"Oleh itu, tuduhan kononnya wujud 'cover up’ atau dakwaan bahawa SOP tidak dipatuhi, adalah ditolak sama sekali," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan keadilan dan kebenaran perlu berdasarkan fakta dan proses undang-undang yang sah, bukannya kenyataan separuh masak, tuduhan rambang, atau sentimen emosi semata-mata.

"Kita tolak kalau ada mainkan sentimen politik, kalau ada yang membuat spekulasi dan dakwaan yang jahat.

"Misalnya, kita tangkap seorang guru yang buat 'content' TikTok bahawa adik Zara Qairina ini dibunuh dengan cara dia masuk dalam mesin basuh.

"Dan bila kita soal siasat kenapa mesti buat begitu? 'Saya nak buat 'content' saja', katanya. Tapi masalahnya 'content' dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan di luar dewan.

Beliau berkata, guru terbabit sudah ditahan dan akan dituduh jika mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).











#Yang Dipertua Negeri Sabah #Saifuddin Nasution #Zara Qairina Mahathir #cucu TYT Sabah #pengetua sekolah