MALAYSIA

Kes Zayn Rayyan: Ismanira nafi dakwaan ‘muka kosong’

Yasmin Natasha 21/07/2025 | 09:07 MYT
Ismanira menafikan dakwaan seorang saksi pendakwaan yang menyifatkan wajahnya kelihatan ‘kosong’ ketika siasatan awal dilakukan. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PETALING JAYA : Tertuduh dalam kes kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, Ismanira Abdul Manaf, menafikan dakwaan seorang saksi pendakwaan yang menyifatkan wajahnya kelihatan ‘kosong’ ketika siasatan awal dilakukan.


Ringkasan AI
  • Ismanira Abdul Manaf menafikan dakwaan saksi pendakwaan bahawa wajahnya kelihatan kosong ketika siasatan awal, dan menjelaskan bahawa dia sedang dalam keadaan cemas memikirkan kehilangan anaknya, Zayn Rayyan.
  • Beliau turut menjelaskan interaksi dengan Inspektor Nina Syamimi yang tiba lima jam selepas laporan dibuat, termasuk arahan untuk pulang dan mencari anak berdasarkan maklumat orang awam yang tidak dapat disahkan.
  • Ismanira akhirnya merayu agar bantuan dihantar selepas usaha pencarian sendiri tidak berhasil; perbicaraan kes diteruskan sehingga Khamis dan beliau memberi keterangan secara bersumpah.


Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.

Ketika memberikan keterangan di kandang saksi dalam perbicaraan hari ini, Ismanira menjelaskan bahawa dia sememangnya memberikan maklumat kepada saksi pendakwaan keempat, iaitu Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin.

“Pada malam itu, Inspektor Nina minta saya masuk ke dalam kereta peronda yang dia naiki untuk ambil keterangan dan maklumat tentang kehilangan.

“Saya tidak faham apa maksud dia muka saya kosong. Sejak anak saya hilang, saya lalui perkara yang sangat perit. Masa itu saya cuma fikir di mana Zayn dan malam itu hujan sudah mula turun,” katanya dalam nada sebak di hadapan mahkamah.

Ismanira turut menjelaskan bahawa inspektor berkenaan tiba di kawasan kediamannya, Pangsapuri Idaman Damansara Damai, kira-kira lima jam selepas laporan kehilangan dibuat, kerana difahamkan beliau terlibat dengan kes lain pada ketika itu.

“Saya tunggu sehingga jam 7.50 malam (laporan dibuat jam 4.30 petang), kemudian saya terima panggilan daripada Inspektor Nina. Beliau maklumkan bahawa menerima maklumat daripada ketua blok yang mendakwa ada individu terlihat Zayn berjalan di koridor tingkat tiga di apartment saya.

“Inspektor Nina minta saya balik dulu dan cari betul-betul,” katanya.

Ismanira berkata, pada mulanya dia bertegas tidak mahu pulang kerana ketika itu ayah mertuanya sedang mencari Zayn di kawasan sekitar.

“Tetapi, saya telefon dia semula untuk tanya, betul ke ada orang nampak Zayn? Tapi ayah mertua cakap tak ada,” katanya.

Selepas itu, Ismanira menghubungi semula Inspektor Nina dan memaklumkan bahawa anaknya masih belum dijumpai dan merayu agar bantuan dihantar segera.

Perbicaraan akan bersambung semula sehingga Khamis ini.

Sebelum ini, Ismanira bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, sebagai penjaga kepada Zayn Rayyan, 6, didakwa telah mengabaikan kanak-kanak itu sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hingga ke lokasi anak sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pagi tadi, Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Zaim selepas mendapati tiada elemen pengabaian dibuktikan oleh pihak pendakwaan, manakala Ismanira, diperintah membela diri kerana wujud kes prima facie terhadapnya.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya kira-kira 200 meter dari Blok R, pada malam keesokannya.





#Zayn Rayyan #Mahkamah Sesyen #Ismanira Abdul Manaf #Kes Zayn Rayyan #terkini