MALAYSIA

Kes Zayn Rayyan: Istilah ‘mengabaikan’ tidak penuhi definisi WHO dan APA – Saksi

Shafiqa Azami 04/08/2025 | 05:40 MYT
Ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf (tengah) dan Zaim Ikhwan Zahari (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, 24 Julai 2025. -Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA: Perkataan “mengabaikan” yang digunakan dalam pertuduhan terhadap ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan tidak memenuhi definisi pengabaian seperti ditetapkan Pertubuhan Psikologi Amerika (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Ringkasan AI
  • Definisi 'mengabaikan' dalam pertuduhan tidak selari dengan piawaian APA dan WHO yang memerlukan elemen berterusan.
  • Penggunaan istilah 'mungkin' menunjukkan ketidakpastian kesan tindakan dalam pertuduhan terhadap Ismanira.
  • Mahkamah arah Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak yang berpotensi menyebabkan kecederaan fizikal.


Perkara itu dimaklumkan saksi pembelaan kelima, Dr Noor Aishah Rosli, seorang pakar psikologi kanak-kanak, ketika memberi keterangan dalam prosiding bela diri tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan definisi profesional kedua-dua badan tersebut, pengabaian terhadap kanak-kanak haruslah melibatkan empat elemen iaitu pengabaian dari segi emosi, fizikal, pendidikan, serta keperluan asas yang berlaku secara konsisten dan berterusan dalam suatu tempoh masa.

“Sesuatu pengabaian tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu insiden atau tindakan terasing,” katanya.

Keterangan itu dikemukakan selepas beliau dirujuk kepada pertuduhan pindaan terhadap Ismanira, yang mendakwa tertuduh mengabaikan anaknya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, Dr Noor Aishah menyifatkan penggunaan perkataan “mungkin” dalam pertuduhan sebagai satu bentuk ketidakpastian dari segi kesan tindakan yang didakwa.

Malah, katanya, istilah “mengabaikan” juga tidak dinyatakan secara jelas dalam laporan polis mahu pun laporan bedah siasat terhadap Zayn Rayyan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung semula pada jam 2 petang ini.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan 9.55 malam keesokannya, melibatkan kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke anak sungai berhampiran.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.









#Zayn Rayyan #istilah mengabaikan #APA dan WHO #Noor Aishah Rosli