KOTA KINABALU: Kesalahan dadah dikenal pasti sebagai hab utama yang memacu jenayah sistemik di negara ini apabila berfungsi menghubungkan sekurang-kurangnya 28 jenis jenayah lain termasuk kecurian, pecah rumah dan keganasan.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusuh berkata dapatan itu diperoleh berdasarkan laporan penyelidikan oleh Pusat Data Sains Kementerian Dalam Negeri menerusi analisis rangkaian terhadap Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ini menunjukkan kegagalan menangani isu penyalahgunaan dadah berpotensi menyebabkan peningkatan semula jenayah lain yang berkait rapat secara sistemik,” katanya kepada Bernama.
Beliau mendedahkan statistik penagih dan penyalahgunaan dadah di peringkat nasional merekodkan 123,139 individu pada 2021, sebelum meningkat kepada 137,176 individu (2022) dan 145,526 individu (2023).
Menurut Ruslin, angka berkenaan melonjak ke paras 192,857 individu pada 2024 sebelum mencatatkan sedikit penurunan kepada 191,832 individu tahun lepas.
Ruslin berkata bagi Sabah pula, rekod penagihan dalam tempoh lima tahun menunjukkan 6,377 individu pada 2021, 8,156 individu (2022), 8,567 individu (2023), 9,207 individu (2024) dan 8,665 individu (2025).
“Walaupun jumlah penagih di Sabah menurun, dadah jenis amphetamine-type stimulants (ATS) atau syabu masih mendominasi statistik dengan penglibatan sebanyak 8,524 individu,” katanya.
Beliau berkata jumlah itu jauh mengatasi kategori dadah lain yang merekodkan 73 individu, iaitu ganja (50), opiat (11) dan pil psikotropik (7).
“Perubahan trend dan bentuk penyalahgunaan dadah semakin sukar dikesan, khususnya dengan peningkatan penggunaan dadah sintetik serta kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) yang dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik atau vape seperti etomidate dan kanabinoid sintetik,” katanya.
Ruslin berkata bahan terlarang yang hadir dalam bentuk produk fizikal menyerupai barangan harian serta stigma masyarakat terhadap individu dalam pemulihan menjadi cabaran utama AADK di Sabah.
Beliau ketika mengulas mengenai profil umur di Sabah berkata golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun mencatatkan bilangan tertinggi, iaitu 5,638 individu atau 65.06 peratus daripada keseluruhan penagih, diikuti kumpulan 40 hingga 59 tahun (2,963) dan remaja 13 hingga 18 tahun (64).
Berdasarkan jantina pula, sebanyak 8,172 individu yang terlibat dengan najis dadah di negeri berkenaan terdiri daripada lelaki manakala 493 orang lagi adalah wanita.
Pihak AADK turut mengenal pasti beberapa kawasan panas pengedaran dan penagihan merangkumi Manggatal dan Putatan di Kota Kinabalu, Merotai dan Balung di Tawau, Rancangan Sungai Manila dan Bukit Garam di Sandakan, Telipok di Tuaran serta Kinarut di Papar.
Penglibatan golongan belia berkenaan memberi impak negatif kepada institusi kekeluargaan, selain mengakibatkan penirisan pendapatan isi rumah berikutan kos mendapatkan bekalan dadah dianggarkan antara RM30 hingga RM100 sehari.
Bagi menangani isu berkenaan, AADK memfokuskan strategi pencegahan berasaskan komuniti menerusi Jelajah SKUAD 2 Roda yang bertindak sebagai duta bergerak menyebarkan mesej antidadah ke kawasan pedalaman dan estet.
Kerjasama strategik turut diselaraskan menerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, selain pelaksanaan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dan Gerakan Pemerkasaan Rakyat (GEGAR).
Di peringkat institusi pendidikan, pelbagai program pencegahan dilaksanakan termasuk Kem Eksplorasi Potensi Murid, Seminar Guru Teraju Organisasi Cemerlang, Skuad Junior dan Seminar Keluarga.
“Usaha ini amat kritikal bagi memastikan aspirasi Sabah Maju Jaya tidak dicemari dengan ancaman dadah, sekali gus menuntut pemerkasaan ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung sebagai mata dan telinga kerajaan,” katanya.
Beliau berkata sehingga Ogos ini, sebanyak 360 individu sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) manakala 1,237 individu lagi mengikuti program Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri Sabah menolak sekeras-kerasnya cubaan menjadikan negeri itu sebagai laluan transit atau sasaran pasaran pengedaran dadah susulan kejayaan pihak penguat kuasa merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM240 juta menerusi Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2.
-- BERNAMA