[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Kesalahan khalwat tidak terhad kepada dua individu sahaja - Peguam

Farhan Hakimi 15/12/2024 | 07:00 MYT
Musa berkata, operasi penguatkuasaan boleh dilakukan sekiranya perbuatan tersebut dilakukan di dalam kereta atau mana-mana premis yang boleh menimbulkan keraguan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seseorang individu yang ditemui bersama lebih dari seorang individu yang berlainan jantina yang bukan mahram di dalam sesebuah premis terselindung tetap dianggap melakukan kesalahan khalwat.
Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang operasi penguatkuasaan boleh dilakukan sekiranya perbuatan tersebut dilakukan di dalam kereta atau mana-mana premis yang boleh menimbulkan keraguan.
"Katakan seorang lelaki bersama tiga orang perempuan yang bukan mahram (dalam sesebuah premis), perlakuan itu tetap dianggap sebagai kesalahan khalwat.
"Keadaan mereka perlu menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral mengikut pandangan undang-undang, hukum syarak, atau masyarakat.
"Khalwat ini tidak terhad kepada waktu malam sahaja, kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, yang penting ada intipati kesalahan itu tadi," ujar beliau ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Ahad.
Dalam pada itu beliau turut menambah, pegawai penguatkuasa agama yang melanggar sebarang prosedur operasi standard (SOP) dan kod etika ketika mengendalikan operasi khalwat boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Ujarnya, tindakan itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993.
"SOP ini telah diperkenalkan sejak tahun 2007, manakala kod etika pula dikeluarkan pada tahun 2008.
"Kedua-duanya memberikan panduan yang jelas mengenai pelbagai aspek, termasuk penerimaan maklumat, pelaksanaan siasatan, penyediaan laporan ringkas, serta pengendalian barang-barang yang disita," katanya.
#khalwat #JAIS #Enakmen Kanun Jenayah Syariah #Persatuan Peguam Syarie Malaysia