SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Kesan jangka panjang vaksin COVID-19 masih dalam kajian - Lukanisman

Hasimi Muhamad 21/08/2025 | 06:00 MYT
Lukanisman memaklumkan sebanyak 22 kes kematian berkaitan post-COVID direkodkan pada tahun 2024 - Foto/ JaPEN
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan kemudaratan akibat pemberian vaksin COVID-19 dan akan meneliti aduan tersebut.


Ringkasan AI
  • Kerajaan bersedia menerima dan meneliti laporan berkaitan kemudaratan akibat vaksin COVID-19, termasuk kajian kesan jangka panjang serta komplikasi selepas vaksinasi.
  • Mekanisme pampasan tersedia sekiranya dakwaan terbukti benar, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.
  • Sebanyak 22 kes kematian post-COVID direkodkan pada 2024, kebanyakannya berpunca daripada komorbiditi, dan pembangunan vaksin tempatan diterajui MOSTI dengan sokongan KKM.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, setakat ini kerajaan masih menjalankan kajian terhadap kesan jangka panjang vaksin, selain menilai dakwaan berkaitan jangkitan atau komplikasi selepas pemberian vaksin.

Katanya, segala aduan akan diperiksa dan jika terbukti benar, kerajaan mempunyai mekanisme pampasan seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan, yang dibentangkan dua tahun lalu.

"Buat masa ini saya tidak dapat memberi secara spesifik penyakit-penyakit yang berkait rapat dengan kesan vaksin.

"Walaupun demikian, kita telahpun mengambil beberapa tindakan dan juga semakan berkenaan dakwaan-dakwaan berkenaan tentang jangkitan ataupun kesan pemberian vaksin dan setakat ini kerajaan meneliti kajian-kajian tersebut.

"Walaupun begitu, kita menganggap bahawa kesan daripada pemberian vaksin ketika pandemik COVID-19 itu sebenarnya banyak membantu kerajaan untuk mengelak kadar kematian yang sangat tinggi ketika itu dan juga vaksin sebenarnya memberi perlindungan kepada penerima-penerima vaksin ketika itu," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung dakwaan mengenai kesan sampingan dan jangka panjang pengambilan vaksin, serta jenis penyakit akibat pemberian vaksin COVID-19.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan sebanyak 22 kes kematian berkaitan post-COVID direkodkan pada tahun 2024.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan kes kematian itu berpunca daripada penyakit komorbiditi yang tinggi, dan bukan semata-mata faktor vaksinasi.

Mengulas mengenai pembangunan vaksin dalam negara, beliau berkata usaha itu diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), terutama dari segi penyediaan data dan sokongan teknikal.




#ismail sabri yaakob #COVID-19 #Kesan vaksin COVID-19