Kesatuan Pekerja Syarikat Penerbangan Malaysia (MASEU) menggesa peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Kesatuan tersebut turut menggesa untuk peletakan jawatan Pengarah Kejuruteraan MAS, Azhari Dahlan serta Pengarah Bahagian Sumber Manusia MAS, Zaharah Zaid supaya 'meninggalkan MAS dengan secara terhormat'.

Setiausaha Eksekutif MASEU, Mohd Jabbarullah Abd Kadir menerangkan, syarikat tersebut telah mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu dan kesatuan itu tidak mahu perkara sama berulang lagi.

"MASEU berpendapat bahawa Ahmad Jauhari telah diberi masa secukupnya untuk membuktikan beliau boleh memimpin MAS, tetapi sudah tiga tahun berlalu dan beliau telah gagal membawa keuntungan kepada MAS," katanya.

MAS pada Khamis mengumumkan kerugian bersih suku pertamanya melonjak naik kepada RM443.4 juta daripada RM278.8 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau mencadangkan MAS perlu melihat bakat dalaman mereka yang lebih pakar tentang industri penerbangan untuk menerajui syarikat tersebut.

"Kita mempunyai ramai kakitangan yang berbakat untuk membawa semula keuntungan kepada syarikat," kata Jabbarullah.

Apabila ditanya Astro AWANI sama ada kesatuan tersebut mempunyai sesiapa untuk dicadangkan bagi menggantikan Jauhari, beliau enggan mengulas lanjut.

MASEU turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dalam hasrat MAS untuk menjual sebahagian asetnya dan seterusnya menutup syarikat itu untuk beberapa hari.

"Kami meminta perdana menteri agar campur tangan dengan hasrat MAS untuk menutup syarikat buat beberapa hari untuk menjual MRO serta membahagikan MAS kepada 18 bahagian," tambah beliau.

Kesatuan tersebut akan mengadakan piket pada 26 Mei di hadapan pejabat MAS di Subang sebagai tanda protes terhadap rancangan penjualan bahagian kejuruteraan MAS.

Jabarullah menjangkakan seramai 200-500 kakitangan MAS akan menyertai piket tersebut yang akan diadakan sekitar jam 5 petang.

Menurut kesatuan itu lagi, MAS kini mempunyai sekitar 19,500 pekerja seluruh dunia termasuk pihak pengurusan dan operasi dimana 13,500 daripadanya merupakan ahli MASEU.