KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah sehingga ramai menjadi mangsa jenayah siber, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Selain itu katanya masih ramai juga rakyat di negara ini tidak mengamalkan penggunaan teknologi dengan beretika dan bertanggungjawab.

"Malahan kerugian jutaan ringgit turut dialami oleh mangsa seperti direkodkan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya semasa menjadi tetamu jemputan program bual bicara Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di RTM 1, di sini, hari ini

Zahidi berkata KKMM menerusi CyberSecurity Malaysia menerima sebanyak 4,615 laporan insiden keselamatan siber sejak Januari hingga Mei tahun ini menerusi Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata daripada jumlah laporan berkenaan, tiga laporan tertinggi melibatkan penipuan iaitu sebanyak 3,229 kes, pencerobohan (765) dan kod berbahaya (256).

Menurut Zahidi antara insiden lain yang turut dilaporkan kepada pusat bantuan berkenaan termasuk spam, percubaan pencerobohan, penafian perkhidmatan, gangguan siber, laporan kerentanan dan berkaitan kandungan.

Katanya walaupun tahap keselamatan siber di negara ini masih tidak membimbangkan namun masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai keselamatan siber dan teknologi terbaharu serta sentiasa berwaspada terhadap bentuk ancaman siber terkini.

"Saya menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga antaranya dengan memastikan kata laluan yang kukuh, memasang dan mengemas kini perisian antivirus pada gajet digital serta menggunakan rangkaian yang selamat semasa melakukan transaksi dalam talian sama ada untuk urusan perbankan atau pembelian barangan dalam usaha membanteras jenayah siber ini," katanya.

-- BERNAMA