KUALA BERANG: Kesedaran penduduk Terengganu dalam menyelamatkan diri dan keluarga ketika berhadapan dengan banjir kini semakin tinggi dan wajar dipuji.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan 'As'ari Omar berkata hal itu dapat dilihat dengan ketara pada musim tengkujuh kali ini apabila kebanyakan mangsa berpindah sendiri ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum paras air semakin tinggi di kawasan rumah mereka.

"Kalau ikutkan peratusan jumlah kes menyelamat mangsa banjir oleh pihak bomba tidak begitu ramai sebenarnya kerana kesedaran yang sudah menebal dalam kalangan masyarakat.

"Kesedaran ini kita sudah mula nampak pada musim tengkujuh tahun lepas lagi tetapi pada tahun ini semakin ketara dan ia sangat-sangat membantu dan melancarkan operasi pemindahan serta menyelamat mangsa banjir," katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang di sini hari ini.

Hassan 'As'ari berkata banjir gelombang ketiga yang melanda negeri ini sejak malam Sabtu menyaksikan JBPM Terengganu berjaya memberi respons terhadap kesemua 75 panggilan kecemasan dan memindahkan seramai 474 mangsa ke PPS.

Beliau berkata banjir gelombang ketiga ini menyaksikan Dungun dan Hulu Terengganu merupakan daerah yang paling teruk terjejas, namun masih terkawal.

"Dua daerah ini pula yang paling terjejas ialah di kawasan hulu iaitu di Hulu Dungun dan Hulu Kuala Berang (di Hulu Terengganu), namun banjir kali ini kita kategorikan masih di peringkat pertengahan dan terkawal," katanya.

Berdasarkan maklumat daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) setakat 2 petang ini jumlah mangsa banjir di seluruh negeri meningkat kepada 2,642 orang daripada 754 keluarga, berbanding 2,111 orang daripada 612 keluarga pada 8 pagi tadi.

Sebanyak 49 PPS dibuka di enam daerah iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Setiu dan Marang.

-- BERNAMA