MALAYSIA

Kesediaan sertai misi pengaman PBB termasuk ke Gaza bukti peranan aktif Malaysia - Adly

Bernama 29/10/2025 | 09:04 MYT
Adly berkata, Malaysia secara berterusan mempromosi dan menyokong usaha ke arah penubuhan pasukan pengaman berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kemanusiaan sejagat. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kesediaan Malaysia untuk menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk ke Gaza membuktikan kesungguhan dan peranan aktif negara dalam memastikan keamanan global, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata Malaysia telah menyatakan pendirian tegas kepada Majlis Keselamatan PBB bahawa negara bersedia menyediakan satu batalion bagi pasukan pengaman sekiranya mandat misi keamanan di Gaza diluluskan badan dunia itu.

Adly berkata walaupun keputusan itu tertakluk kepada pertimbangan PBB, namun Malaysia secara berterusan mempromosi dan menyokong usaha ke arah penubuhan pasukan pengaman berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kemanusiaan sejagat.

"Baru-baru ini, melalui platform ASEAN, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut menyampaikan kepada Setiausaha Agung PBB (Antonio Guterres) mengenai hasrat dan komitmen Malaysia dalam memperkukuh misi keamanan antarabangsa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berhubung kesediaan Malaysia menghantar pasukan pengaman ke Gaza.

Adly berkata misi pengaman itu mendapat minat yang tinggi daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana sebahagian besar daripada mereka mempunyai keinginan dan semangat juang untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau berkata aspek kebajikan anggota pertahanan yang berkhidmat di luar negara termasuk isu kesihatan dan kebajikan keluarga adalah keutamaan kerajaan melalui insentif PBB.

Menjawab soalan asal Ikmal Hisham berhubung persediaan demobilisasi pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 serta aset ATM dari Lubnan, Adly berkata tugasan pasukan di bawah Pasukan Interim PBB (UNIFIL) itu akan diteruskan oleh MALBATT 850-13 bermula 15 Nov 2025 hingga 15 Nov 2026.

"Keseluruhan MALBATT 850 akan berundur secara berfasa bermula 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2027. Bagi tujuan itu, Kementerian Pertahanan menubuhkan satu pasukan khas bagi menguruskan proses pengunduran dan penghantaran pulang aset serta anggota ATM dari Lubnan secara berperingkat.

"Bagi pengurusan aset-aset ATM, satu penilaian terperinci sedang dilaksanakan selaras tatacara pengurusan aset dan kos operasi. Penilaian ini akan menentukan sama ada aset berkenaan wajar dibawa pulang ke tanah air atau dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Beliau berkata ketika ini Malaysia mempunyai aset logistik termasuk 198 unit kenderaan perisai di Lubnan dan terdapat cadangan daripada pihak UNIFIL yang mengharapkan sebahagian daripada aset itu dapat dikekalkan kepada Angkatan Tentera Lubnan atau diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan di sana.

"Bagi aset strategik yang perlu dibawa kembali ke tanah air, kita akan bawa pulang seperti ditetapkan kementerian. Bagi aset kesihatan seperti hospital medan dan kemudahan perubatan lain, mungkin kita akan menjalinkan kerjasama dengan hospital tempatan di Lubnan bagi tujuan kemanusiaan dan kesinambungan operasi," katanya.

-- BERNAMA

#Malaysia #misi pengaman #PBB #Gaza #Adly Zahari #keamanan