MALAYSIA

Kesejahteraan rakyat dan pembangunan warisan jadi fokus kerajaan

Astro Awani 24/01/2026 | 13:09 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ekonomi negara bukan bertujuan memperkayakan pemimpin, sebaliknya fokus utama adalah memastikan kebajikan rakyat terbela. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif, walaupun mengakui tidak semua langkah yang diambil memuaskan hati semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ekonomi negara bukan bertujuan memperkayakan pemimpin, sebaliknya fokus utama adalah memastikan kebajikan rakyat terbela.

Beliau menegaskan, barisan menteri Kabinet masih dikenakan potongan gaji 20 peratus sebagai contoh bahawa jawatan awam tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan peribadi atau keluarga.

“Sebab itu saya tegaskan, potongan gaji 20 peratus masih dijalankan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua orang perlu mengejar jawatan semata-mata untuk memperkayakan diri sendiri,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Galeri Arkeologi Guar Kepah Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Anwar menambah, bagaimanapun kerajaan berusaha sedaya upaya memperbaiki kelemahan dan menyelesaikan isu rakyat secara serius, walaupun tidak mendakwa segala usaha yang dijalankan sempurna.

Dalam ucapannya, beliau turut menegur sikap segelintir pihak yang mudah menyalahkan kerajaan dalam setiap isu rakyat, termasuk kes seorang penduduk di Kepala Batas yang dilaporkan terputus bekalan beras baru-baru ini.

“Saya dengar ada laporan seorang penduduk di sini tiada beras. Dalam keadaan begini, kita boleh salurkan bantuan segera terlebih dahulu. Tidak perlu tunggu sehingga Perdana Menteri sendiri dimaklumkan," katanya.

Perdana Menteri menekankan bahawa kerajaan akan terus mencari pendekatan terbaik berasaskan prinsip reformasi, nilai keadilan, dan matlamat kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai Galeri Arkeologi Guar Kepah, Anwar berkata, pembangunan berasaskan warisan dan arkeologi mampu selari dengan agenda pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menegaskan galeri itu berpotensi menjadi tarikan baharu dalam bidang penyelidikan, sejarah, dan pelancongan sekiranya diurus secara strategik dan profesional.

Menurut beliau, kajian arkeologi tidak seharusnya dilihat secara terasing atau tertumpu kepada satu disiplin sahaja, sebaliknya perlu digabungkan dengan ilmu lain termasuk sains, sejarah, ekologi, pelancongan dan perdagangan.

“Galeri ini bukan sekadar ruang pameran. Ia harus menjadi pusat ilmu yang membuka pemahaman tentang warisan budaya dan sejarah negara kita,” katanya.

Beliau menegaskan, pembangunan warisan harus menyokong ekonomi tempatan, menarik penyelidik dan pelancong, serta meningkatkan kesedaran generasi muda tentang nilai sejarah dan budaya Malaysia.




#taraf hidup #kebajikan rakyat #kerajaan #Anwar Ibrahim #isu rakyat