SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menjalankan Operasi Bersepadu selama tujuh hari bermula Rabu minggu lalu hingga semalam (Selasa) sebelum menggempur 12 lokasi disyaki penempatan warga asing di Sandakan.

Komander ESSCom, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Operasi Bersepadu tersebut bertujuan untuk mengesan dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mensasarkan lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar daerah Sandakan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

“Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh tujuh hari operasi terhadap 410 jumlah rumah premis di 12 lokasi, 772 individu diperiksa.

“Susulan itu, seramai 26 PATI telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal.

“Dalam masa sama, nilai rampasan Operasi Bersepadu sebanyak RM16,951 dihasilkan membabitkan batang kayu disyaki jenis tangar bulat menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi dan terdapat barangan terkawal yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Hamzah berkata, selain itu, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi tersebut.

“Seramai 81 pegawai dan anggota menjayakan Operasi Bersepadu ini melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan dan Sabah Electricity Sdn. Bhd.

“ESSCom menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat terutama para pegawai serta anggota keselamatan dan penguatkuasaan.

“Selaras dengan moto iaitu Bersama-sama Menjana Kesejahteraan, ESSCom beriltizam akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

Menurutnya lagi, ESSCom menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat  berkaitan sebarang insiden keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) ke Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.