KUALA LUMPUR: Kesesakan yang berlaku di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital kerajaan berpunca dari peningkatan kes penyakit tidak berjangkit kesan daripada pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kepada Dewan Rakyat, pihaknya mengambil perhatian serius berhubung isu kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.

Beliau juga memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) memahami kesusahan dialami pesakit dan petugas kesihatan yang bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik dalam keadaan itu.

"Kesesakan di ETD bukan baharu, sebaliknya isu diwarisi sejak sekian lama. Namun mengikut data diperoleh daripada Pusat Informatik Kesihatan (PIK) di Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan (KKM), kita melihat satu trend peningkatan kehadiran pesakit di ETD dan ini berpunca daripada pelbagai faktor.

"Salah satu faktor adalah kesan daripada pandemik COVID-19 di mana kes seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya semakin meningkat," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) pada Rabu yang meminta KKM menyatakan rancangan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan seluruh negara.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, KKM sudah merangka tujuh langkah dalam menangani permasalahan itu menerusi pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada dalam kementerian.

Atas tujuan ini, katanya, dia sendiri turun ke lapangan dan akan bertemu dengan Pengarah Kesihatan Negeri serta Pengarah Hospital untuk mendengar dan memahami isu di setiap Jabatan Kecemasan secara spesifik dan mencari penyelesaian bersama, bagaimana KKM dapat menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh setiap hospital.

"KKM juga akan mengaplikasikan 'Lean Healthcare' (pendekatan untuk menjalankan sebuah organisasi yang menyokong konsep penambahbaikan berterusan) yang melihat kepada keseluruhan proses kerja bagi mengurangkan aktiviti yang tiada nilai tambah demi meningkatkan efisiensi.

"Proses berulang yang menjejaskan pergerakan pesakit dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali bagi memastikan aliran pesakit berjalan lancar. Ini membantu memendekkan masa menunggu sekali gus mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan klinik pakar," katanya.

Beliau berkata, aktiviti penambahbaikan dilakukan menerusi inisiatif Lean Healthcare menyasarkan pengurangan waktu menunggu untuk berjumpa doktor, bermula dari kaunter pendaftaran sehinggalah pesakit mengambil ubat di farmasi dan juga masa menunggu katil untuk pesakit yang perlu dimasukkan ke wad dari Jabatan Kecemasan.