Skip to main content

Malaysia

Kesiapsiagaan bencana bantu kurangkan kerugian harta benda - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Emas kepada pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Lt. Kol Ismail. Mahedin pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada Ahad. - Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Emas kepada pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Lt. Kol Ismail. Mahedin pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada Ahad. - Bernama

Advertisement

IPOH: Kesiapsiagaan yang dilaksanakan dalam pengurusan bencana membantu mengurangkan kerugian harta benda termasuk aset awam dan infrastruktur, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata pada tahun lepas, kerugian akibat bencana di negara ini mencecah RM636.9 juta, termasuk RM380.2 juta melibatkan aset awam dan infrastruktur.

“Angka itu menurun berbanding RM933.4 juta pada 2024. Sebab itu, kesiapsiagaan mesti melindungi dua nilai penting, iaitu nilai kehidupan dan nilai ekonomi. Benar, kita mahu menyelamatkan nyawa di samping melindungi kediaman, menyantuni soal mata pencarian dan hasil usaha rakyat. 

“Di sinilah early warning system. Inilah program kesedaran yang kita sama-sama terjemahkan untuk kita laksanakan dan kita mahu menyedarkan seluruh masyarakat tentang betapa pentingnya Bulan Kesiapsiagaan Nasional dalam membina keupayaan untuk melindungi semua permasalahan sebelum sebarang musibah melanda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di sini pada Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Seri Meor Ismail Meor Akim.

Ahmad Zahid berkata setiap kali bencana, pasukan penyelamat akan digerakkan, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyediakan sistem amaran awal bagi mengenal pasti kawasan titik panas yang dijangka mengalami banjir dan risiko bencana lain.

“Ketua Pengarah MetMalaysia akan terus masuk kepada sistem dan memaklumkan kepada NADMA, kepada saya khususnya untuk kita maklumkan kepada bakal-bakal mangsa ini untuk berpindah dan bersiap siaga sekurang kurangnya tiga hari lebih awal daripada kedatangan bencana.

“Namun, kecekapan bertindak selepas bencana mesti disertakan dengan kesungguhan untuk mengurangkan risiko sebelum ia berlaku, (selain) kejayaan kita juga ialah sejauh mana rakyat dapat dilindungi dan kita dapat mengurangkan risiko mereka yang akan terkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengurangan risiko bencana perlu bermula sejak peringkat perancangan guna tanah dan pembangunan bandar, termasuk mengenal pasti kawasan berisiko runtuh serta mengambil tindakan awal.

Selain itu, katanya, pengurusan sungai dan pemantauan kawasan berisiko juga penting bagi mengurangkan kesan bencana.

Beliau berkata amaran awal yang disampaikan perlu tepat pada masa, mudah difahami dan disusuli tindakan dalam menyelamatkan nyawa ketika bencana, termasuk memberi masa kepada keluarga berpindah sebelum air naik serta membantu warga emas dan kanak-kanak ke tempat selamat, dengan komunikasi berkesan menjadi kunci utama.

Ahmad Zahid turut menggesa setiap negeri menterjemahkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 kepada pelan tindakan berdasarkan risiko setempat, dengan tanggungjawab agensi dan sasaran pelaksanaan yang jelas bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.

“Kita telah dapat mewujudkan pembangunan Cell Broadcast System oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang kini berada pada fasa akhir. Mereka bukan hanya memantau TikTok dan lain-lain tulisan, melalui sistem itu juga amaran boleh disampaikan terus kepada telefon bimbit di kawasan terancam tanpa mengganggu atau menggunakan data peribadi,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan di lapangan juga disokong oleh kekuatan sukarelawan dan dalam tempoh 10 bulan, hampir 30,000 sukarelawan daripada 45 agensi di 14 negeri terlibat dalam lebih 1,000 misi bantuan bencana.

“Kita berpegang pada dua C, iaitu communication and coordination… dua C yang bermaksud maklumat mesti sampai dengan jelas dan tepat pada masanya.

“Tindakan pula mesti diselaraskan supaya rakyat tahu apa yang perlu dilakukan, komiti tahu bagaimana mahu membantu dan agensi bertindak tanpa berlengah... inilah perubahan yang saya mahu daripada Bulan Kesiapsiagaan Nasional ini,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement