KESEMPATAN menunaikan ibadah haji menjadi impian umat Islam dalam usaha mereka melaksanakan tuntutan Rukun Islam yang kelima itu.

Namun, dalam kegembiraan menerima panggilan untuk menunaikan ibadah itu di Tanah Suci, bakal haji sepatutnya melakukan persediaan rapi terutamanya dari segi kesihatan dan ibadah.

Malah, persiapan kesihatan yang merangkumi aspek kekuatan fizikal dan mental adalah amat diperlukan bagi menjamin kesempurnaan ibadah dalam usaha memperoleh haji yang mabrur.

Setiap bakal haji, tanpa mengira usia, perlulah memastikan tahap kesihatan adalah dalam keadaan baik dengan mereka perlu terlebih dahulu menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan termasuk yang diwajibkan Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum dibenarkan menunaikan ibadah haji.

Selain itu, mereka mesti mendapatkan suntikan anti-Meningitis iaitu Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135 yang boleh diambil di klinik atau hospital kerana ia diwajibkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Bakal haji yang menghidapi lelah, kencing manis, sakit paru-paru, sakit ginjal, endokrin digalakkan mengambil suntikan pilihan seperti vaksin Influenza dan vaksin Pneumokokus untuk mencegah radang serius paru-paru akibat bakteria.

Mereka perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar atau pegawai perubatan terlebih dahulu mengenai imunisasi yang ingin diambil.

PENJAGAAN KESIHATAN

Sebagaimana ditegaskan Pengarah Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang Dr Saiful Azlan Shariff, aspek kesihatan bakal haji bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan sebaliknya, perlu dititikberatkan sejak dari tanah air lagi.

Ini kerana, walaupun kesihatan bakal haji adalah baik sebelum ke Tanah Suci, tetapi keadaan itu mungkin berubah apabila mereka berada di sana.

"Perbezaan iklim boleh mempengaruhi keadaan fizikal dan mental bakal haji, sekali gus menjejaskan kesihatan terutamanya bagi yang berusia dalam lingkungan 60 hingga 69 tahun," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan cuaca panas juga tidak sesuai untuk jemaah kanak-kanak.

Musim haji 1439H/2018 membawa cabaran besar bagi 30,200 jemaah dari Malaysia memandangkan cuaca panas di Arab Saudi dijangka mencecah 50 darjah Celsius.

Berdasarkan pengalamannya sebanyak lapan kali bertugas dengan Rombongan Haji (Perubatan) TH sejak 2002, Dr Saiful Azlan berkata masalah kesihatan lazimnya dialami jemaah warga emas yang menghidapi penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis serta jantung.

"Selain itu, antara penyakit yang sering dihidapi jemaah haji Malaysia adalah jangkitan paru-paru akibat demam, batuk dan selsema serta cirit birit.

"Ada juga jemaah yang mengalami masalah kesihatan berkaitan Musculoskeletal (otot) kerana perlu banyak berjalan serta dalam jarak yang jarang dilakukan semasa mereka di tanah air," jelasnya.

Antara insiden yang pernah dihadapinya semasa bertugas di Tanah Suci adalah jemaah diserang angin ahmar serta sakit kepala teruk akibat tidak mengambil ubat bagi penyakit darah tinggi.

Jemaah yang tidak mengambil ubat bagi penyakit kencing manis pula mengalami kegagalan fungsi buah pinggang yang seterusnya memerlukan mereka menjalani dialisis.

"Malah, ada jemaah yang menghidap kencing manis kronik terpaksa diamputasi kakinya," katanya sambil meminta jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mematuhi pengambilan ubat-ubatan.

PASUKAN PERUBATAN BERPENGALAMAN

Dr Saiful Azlan pernah menjadi Ketua Rombongan Haji (Perubatan) TH pada 2016 selain tiga kali sebagai Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) TH sebelum ini.

Beliau memberitahu petugas Pasukan Perubatan yang dipilih menyertai Rombongan Perubatan TH adalah daripada kalangan mereka yang berpengalaman dan sudah lama bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mereka terdiri daripada 251 orang pakar dalam pelbagai bidang, pegawai perubatan, pasukan paramedik serta pasukan sokongan perubatan.

"Mereka yang berpengalaman ini dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada jemaah haji walaupun berada jauh dari tanah air," katanya.

Petugas Pasukan Perubatan dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan lokasi tertentu dengan setiap kumpulan itu mempunyai tugasan berbeza berdasarkan lokasi masing-masing.

Sebelum bertugas sepanjang musim haji di Tanah Suci, mereka akan terlebih dahulu mengikuti Kursus Pemantapan Petugas Haji dan Kursus Pengukuhan Petugas Haji bagi mengukuhkan semangat pasukan selain mendalami tugas dan tanggungjawab sebagai petugas Pasukan Perubatan.

Pasukan Perubatan juga akan ke Tanah Suci lebih awal daripada penerbangan pertama jemaah haji untuk membuka Hospital Tabung Haji selain Klinik-Klinik Maktab bersiap sedia menerima jemaah haji yang kurang sihat.

Mereka turut ditempatkan di semua lokasi strategik termasuk di lapangan terbang di Malaysia selain di lapangan terbang di Tanah Suci sama ada di Jeddah mahupun di Madinah.

Di Makkah dan Madinah, Pasukan Perubatan akan ditugaskan di Hospital Tabung Haji serta di Klinik-Klinik atau di Zon-Zon berdekatan dengan tempat penginapan Jemaah Haji.

"Semua ini disusun dengan rapi bagi memastikan semua jemaah Malaysia diberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik," kata Dr Saiful Azlan.

APA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN:

*Sebelum ke Tanah Suci, dapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada pegawai perubatan bertauliah serta pastikan penyakit yang dihidapi adalah dalam keadaan stabil.

*Bawa semua ubat-ubatan bagi penyakit yang dihidapi.

*Lakukan senaman mengikut tahap kesihatan masing-masing dengan lebih awal dan kerap untuk membiasakan diri dengan keadaan banyak berjalan kaki di Tanah Suci.

*Semasa di Tanah Suci, jangan terlalu dedahkan diri kepada cuaca panas.

*Banyakkan minum air, menyimpan tenaga dan menjaga kesihatan terutamanya bagi menghadapi hari wukuf.

*Jangan kunjungi ladang unta.

*Selepas pulang dari Tanah Suci, jemaah dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana Klinik Kesihatan atau hospital berhampiran.

-- BERNAMA