MALAYSIA

Kesihatan mental kanak-kanak: JKPK syor NCEMH jadi agensi kebangsaan

Bernama 02/12/2025 | 14:15 MYT
Yeo berkata jawatankuasa turut mengesyorkan LPPKN mempergiat Pendidikan Keibubapaan yang komprehensif. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengurusan kesihatan mental kanak-kanak memerlukan perkhidmatan profesional dan pengurusan sistematik serta tidak boleh hanya bergantung kepada guru yang sudah terbeban dengan tugas hakiki mereka dalam menangani isu kesihatan mental dan keselamatan digital kanak-kanak di Malaysia.


Ringkasan AI
  • Pengurusan kesihatan mental kanak-kanak memerlukan perkhidmatan profesional dan sistematik, tidak seharusnya hanya bergantung kepada guru.
  • Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Wanita mengesyorkan peningkatan peruntukan dan pakar perubatan di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) untuk kesihatan mental kanak-kanak.
  • Kajian menunjukkan 55.7% kanak-kanak menggunakan Internet harian, dengan 60.7% memiliki peranti sendiri, dan 3.5% remaja mengalami Gangguan Permainan Internet (IGD) yang berkait rapat dengan kebimbangan dan kemurungan serius.


Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat Yeo Bee Yin ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini, berkata antara syor jawatankuasa itu adalah menjadikan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) sebagai agensi kebangsaan untuk kesihatan mental kanak-kanak.

"Jawatankuasa mengesyorkan kerajaan memperkasakan NCEMH dengan memperbanyak perjawatan pakar perubatan dan pegawai psikologi serta meningkatkan peruntukannya bagi menangani kes berkaitan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata antara fungsi yang boleh diperkasakan NCEMH adalah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melakukan saringan kesihatan mental secara berkala dan sistematik di sekolah.

Selain itu, NCEMH berperanan melatih kaunselor dan guru berkaitan di sekolah bagi mengenal pasti kes ketagihan digital, ketagihan seks, gangguan permainan Internet (IGD), gangguan kebimbangan sosial (SAD) dan cabaran kesihatan mental yang memerlukan intervensi awal supaya boleh dirujuk kepada institusi Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, Yeo berkata jawatankuasa itu mengesyorkan KPM mengkaji semula kesesuaian bahan pendidikan karakter mengutamakan kepatuhan sosial dan menimbang untuk menggantikannya dengan pembelajaran emosi sosial dicadangkan ahli akademik yang menjalankan kajian psikososial kanak-kanak dan pihak UNICEF.

"Menurut kajian, norma budaya yang menekankan kepatuhan sosial dan mengelakkan konflik boleh menyumbang kepada peningkatan kebimbangan sosial dan menjejas kesihatan mental kanak-kanak," katanya.

Selain itu, beliau berkata JKPK mencadangkan Kementerian Dalam Negeri mengkaji pindaan undang-undang berkaitan kes rogol statutori bagi memastikan kedua-dua pihak dipertanggungjawabkan secara saksama dan memperbanyak Op Pedo untuk mengawal penularan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Yeo berkata jawatankuasa turut mengesyorkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mempergiat Pendidikan Keibubapaan yang komprehensif.

Beliau berkata hal berkenaan bagi menangani isu "diverting syndrome", bagi meningkatkan literasi keibubapaan dan memperkukuh hubungan ibu bapa dan anak supaya tanggungjawab pembentukan sahsiah serta kesejahteraan emosi kanak-kanak dapat dipikul bersama antara keluarga dan sekolah.

Terdahulu, JKPK itu membentangkan dua penyata pada 1 Dis, iaitu Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-kanak di Malaysia dan Townhall Buli dalam Kalangan Kanak-kanak di Malaysia.

Ini susulan empat sesi libat urus jawatankuasa itu bersama pihak berkepentingan antara 30 Okt hingga 13 Nov lepas untuk meneliti faktor risiko, jurang sistemik dan langkah kawal selia yang diperlukan bagi menangani isu itu.

Yeo berkata secara keseluruhannya, sebanyak 55.7 peratus kanak-kanak menggunakan Internet selama satu hingga empat jam dalam sehari pada 2024 dan daripada golongan ini, 60.7 peratus dilaporkan memiliki peranti sendiri.

Beliau berkata menurut satu kajian, antara 5,290 remaja di tujuh negeri di Malaysia, sebanyak 3.5 peratus didiagnosis mengalami IGD yang memberi implikasi kepada 315,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami IGD.

"IGD dikait rapat dengan kecenderungan impulsif terutamanya impulsif motor dan daya tumpuan yang singkat. Dari segi impak kesihatan mental, daripada remaja mengalami IGD, 48.1 peratus mengalami kebimbangan serius, 37.4 peratus mengalami kemurungan serius dan 18.2 peratus mengalami tekanan serius," katanya.

Selain itu, Yeo berkata hampir separuh kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan 68.1 peratus daripada kes itu adalah kes suka sama suka yang melibatkan kedua-dua pihak berumur 16 tahun ke bawah.

Beliau berkata JKP juga mendapati bahawa hampir 90 peratus remaja yang melakukan hubungan seksual berulang kali berpunca daripada pendedahan awal kepada pornografi, media sosial dan bahan lucah digital, selain 30 peratus kes kesalahan seksual kanak-kanak yang ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Akhlak berpunca daripada tiada kawalan terhadap penggunaan gajet.

-- BERNAMA


#Dewan Rakyat #kesihatan mental #pornografi #media sosial