CYBERJAYA: Pembayar cukai tidak perlu mengemukakan pindaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2025 sekiranya berlaku kesilapan penandaan pada ruangan “cukai ditanggung oleh majikan”.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan, terdapat pembayar cukai individu yang secara tidak sengaja menandakan ruangan tersebut semasa mengisi BNCP, sekali gus menyebabkan bayaran balik lebihan cukai masih belum diterima.
Advertisement
Bagaimanapun, hasil semakan yang dijalankan, kes terbabit telah dikenal pasti dan bayaran balik lebihan cukai akan diproses secara berperingkat.
Sehubungan itu, pembayar cukai tidak perlu membuat sebarang pindaan terhadap borang yang telah dihantar bagi membetulkan kesilapan tersebut.
Dalam masa sama, HASiL menegaskan sistem pemprosesan bayaran balik cukai adalah dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan dalam BNCP.
Justeru, ketepatan maklumat yang diisi amat penting bagi memastikan proses bayaran balik berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.
HASiL turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan bayaran balik cukai dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti selaras dengan usaha memperkukuh kecekapan pentadbiran percukaian negara.