MALAYSIA

KESUMA bentang empat pindaan undang-undang, tingkat perlindungan pekerja dan TVET

Bernama 01/12/2025 | 02:10 MYT
Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan empat pindaan undang-undang bagi meningkatkan perlindungan pekerja serta memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. - Gambar fail Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan empat pindaan undang-undang bagi meningkatkan perlindungan pekerja serta memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Akta berkenaan adalah Akta 4 (Akta Keselamatan Sosial 1969), Akta 800 (Sistem Insurans Pekerjaan 2017), Akta 652 (Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006) dan Akta 640 (Tabung Pembangunan Kemahiran 2004).

Menurut kenyataan KESUMA hari ini, kelulusan empat pindaan akta utama ini akan memberi manfaat kepada jutaan pekerja, pelajar dan belia.

"Melalui perluasan perlindungan keselamatan sosial 24/7, pengukuhan bantuan kepada pekerja kehilangan pekerjaan, penyelarasan standard kemahiran lebih menepati keperluan industri serta jaminan akses pembiayaan latihan kemahiran lebih mampan," menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan, pindaan terhadap Akta 4 (Akta Keselamatan Sosial 1969) bagi memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk luar waktu bekerja melibatkan kira-kira 10 juta pekerja di sektor formal.

Bagi Akta 800 (Sistem Insurans Pekerjaan 2017) pula, impak pindaan adalah pemantapan jaringan keselamatan bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui peningkatan bantuan kewangan, intervensi pekerjaan dan sokongan penempatan semula.

Selain itu, impak pindaan Akta 652 (Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006) adalah pengukuhan standard kemahiran negara agar lebih responsif kepada keperluan industri, memperkenalkan tiga kategori baharu di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), serta meningkatkan kualiti TVET serta kebolehpasaran belia dan pelajar.

"(Pindaan) Akta 640 (Tabung Pembangunan Kemahiran 2004) bakal memberi jaminan akses pembiayaan kemahiran yang lebih luas dan cekap untuk menyokong latihan peningkatan kemahiran iaitu upskilling atau reskilling," menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan, bacaan kali kedua dan ketiga bagi keempat-empat pindaan akta ini berlangsung awal bulan ini.

"Reformasi undang-undang ini menegaskan komitmen KESUMA untuk membina ekosistem perburuhan dan TVET yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing, memastikan pekerja dan belia Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan," menurut KESUMA.

-- BERNAMA


#KESUMA #pindaan undang-undang #perlindungan pekerja #ekosistem TVET