MALAYSIA
KESUMA beri amaran isu pemandu bas terima gaji bawah kadar minimum
Menurut PGM 2024, kadar gaji minimum ditetapkan pada RM1,700 sebulan dan wajib dipatuhi oleh semua pekerja termasuk pemandu bas ekspres serta persiaran. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan termasuk syarikat bas yang membayar gaji pemandu di bawah kadar minimum.
Ringkasan AI
- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi amaran bahawa majikan termasuk syarikat bas yang membayar gaji di bawah kadar minimum RM1,700 sebulan melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas.
- Jabatan Tenaga Kerja akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pelanggaran Perintah Gaji Minimum 2024, termasuk pemotongan gaji tidak sah dan kegagalan menyatakan gaji pokok dalam kontrak.
- Pekerja yang menerima gaji di bawah kadar minimum digalakkan membuat aduan, dan jika terbukti di mahkamah, majikan boleh diarahkan membayar semula perbezaan gaji serta elaun yang terjejas.
Menerusi kenyataan pada Isnin, KESUMA menegaskan tindakan sedemikian melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum 2024 (PGM 2024) yang sedang berkuat kuasa.
"Majikan yang menetapkan gaji pokok dalam kontrak wajib memastikan jumlahnya tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
"Jika tiada gaji pokok dinyatakan, bayaran bulanan keseluruhan tetap tidak boleh di bawah kadar minimum dan elaun tidak boleh dijadikan alasan untuk menampung kekurangan tersebut," katanya.
Menurut PGM 2024, kadar gaji minimum ditetapkan pada RM1,700 sebulan dan wajib dipatuhi oleh semua pekerja termasuk pemandu bas ekspres serta persiaran.
Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan berkaitan pelanggaran PGM 2024, termasuk pemotongan gaji tidak sah.
KESUMA turut memaklumkan sekiranya aduan pekerja dibuktikan di mahkamah, majikan boleh diarahkan untuk membayar semula perbezaan gaji dan elaun yang terjejas di bawah Seksyen 44 Akta 732.
Pekerja yang menerima bayaran gaji di bawah kadar minimum RM1,700 sebulan disarankan untuk segera membuat aduan di mana-mana pejabat Jabatan Tenaga Kerja berhampiran.
Dalam kenyataan sama, KESUMA turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan pemandu bas ekspres dan persiaran mengakui terpaksa bergantung kepada elaun perjalanan dan kerja lebih masa untuk menampung kehidupan dan dibayar dengan gaji pokok serendah RM700 sebulan, malah ada yang langsung tidak dibayar gaji asas.