MALAYSIA
KESUMA perkasa TVET dengan elemen AI hadapi Revolusi Industri 4.0

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika ditemui media pada majlis perasmian Persidangan ARTDO (Asian Regional Training and Development Organization) ke-52 di sini hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited memperkasa pembangunan modal insan negara dengan menawarkan kursus kemahiran yang membantu pekerja mempersiapkan diri menghadapi keperluan pasaran kerja semasa dan masa hadapan, selari dengan kehendak Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Ringkasan AI
- KESUMA perkenal elemen AI dalam kursus TVET untuk memperkasa modal insan selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), termasuk semakan semula sukatan pelajaran di 33 ILP.
- Kemahiran asas AI akan dimasukkan agar pelatih memiliki pengetahuan walaupun tidak bekerja dalam bidang teknologi secara langsung, kerana AI merentasi semua sektor pekerjaan.
- Kursus jangka pendek dan literasi AI akan diperluas kepada golongan seperti suri rumah bagi memastikan semua lapisan masyarakat bersedia menghadapi transformasi teknologi.
"Ini supaya pelatih kita apabila keluar nanti walaupun bukan bekerja dalam bidang teknologi secara langsung] sekurang-kurangnya mereka ada pengetahuan asas sebab AI ini merangkumi semua sektor pekerjaan dan kehidupan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Persidangan ARTDO (Asian Regional Training and Development Organization) ke-52 di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika ini terdapat 33 Institut Latihan Perindustrian (ILP) seliaan KESUMA di bawah TVET dan kerjasama akan turut diperluas dengan insititusi TVET lain serta penyedia latihan swasta bagi memperkukuh penyampaian latihan berteraskan teknologi.
Beliau juga berharap dapat memperluaskan lagi kursus jangka pendek serta program literasi AI kepada golongan seperti suri rumah bagi memastikan setiap lapisan masyarakat bersedia menghadapi transformasi teknologi.
Dalam pada itu, Sim berkata pembangunan teknologi masa kini termasuk AI, digitalisasi dan ekonomi hijau yang sedang berkembang pesat memberi kesan ketara terhadap pasaran kerja negara.
Bagi mendepani cabaran itu, beliau memaklumkan KESUMA telah menyediakan satu laporan pada hujung tahun lepas yang mengkaji impak teknologi masa hadapan terhadap tenaga kerja Malaysia.
Beliau berkata laporan tersebut dibangunkan berdasarkan input daripada pemain industri dalam 10 sektor ekonomi utama negara dan menjadi panduan penting kepada kerajaan dalam merangka dasar latihan kemahiran serta tenaga kerja masa depan.
"Menerusi laporan ini kita dapat kenal pasti pekerjaan yang mungkin terjejas serta peluang pekerjaan baharu yang bakal wujud, maka strategi upskilling dan reskilling perlu dilaksanakan bagi memastikan pekerja kita kekal relevan dan berdaya saing," jelasnya.
Justeru, Sim berkata KESUMA melalui TalentCorp telah memperkenalkan portal MyMahir yang memadankan keperluan kemahiran baharu dengan kursus latihan bersesuaian.
"Portal ini bukan saja membantu rakyat Malaysia secara amnya tetapi juga pembuat dasar, syarikat serta perusahaan kecil sederhana (PKS). Mereka boleh membuat perancangan lebih rapi ke arah persiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran teknologi masa kini," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami