Skip to main content

Malaysia

KESUMA sahkan kenyataan dakwa Malaysia rancang rekrut 200,000 pekerja bukan pendirian rasmi kerajaan Bangladesh - Fahmi

PUTRAJAYA, 2 Sept - Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kenyataan seorang junior minister Bangladesh bahawa Malaysia merancang merekrut 200,000 pekerja dari negara itu bukan pendirian rasmi kerajaan Bangladesh, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkara itu disahkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan (KESUMA), yang memaklumkan bahawa kenyataan itu dibuat seorang anggota junior kerajaan Bangladesh dan tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan negara berkenaan.

“Saya ada berhubung dengan Menteri Sumber Manusia (Ramanan) mengenai perkara tersebut dan beliau memaklumkan bahawa itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Bangladesh.

“Ia telah dikeluarkan oleh seorang, saya difahamkan seorang junior minister. Jadi bukan mewakili keputusan rasmi pihak kerajaan Bangladesh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa sebanyak 1,476 pelarian Myanmar yang berada di depoh tahanan imigresen, akan dihantar pulang ke negara asal pada hujung bulan ini.

Beliau berkata kesemua mereka telah menandatangani dokumen yang menyatakan persetujuan untuk kembali ke Myanmar secara sukarela.

“Daripada lebih 10,000 pelarian Myanmar yang berada dalam tahanan depoh imigresen, 5,000 nama telah disaring oleh pihak Kementeri Dalam Negeri dan seterusnya dipanjangkan kepada Kedutaan Myanmar. 

“Daripada senarai nama itu, 1,476 telah dipersetujui oleh Myanmar untuk mereka menerima kembali dan ini akan berlaku pada hujung September,” katanya.

Fahmi berkata Kementerian Luar turut mendapat jaminan daripada kerajaan Myanmar bahawa keselamatan pelarian yang dihantar pulang, adalah terjamin.

“Wisma Putra dan Menteri Luar khususnya memaklumkan bahawa tidak akan berlaku apa-apa. Apa yang telah dipersetujui dan dipersefahami dengan pihak Myanmar ialah 1,476 daripada 5,000 yang telah dipersetujui untuk dikembalikan, mereka akan selamat di Myanmar,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement