KUALA LUMPUR: Pusat transit pekerja asing yang bakal diwujudkan mampu menempatkan antara 1,000 hingga 2,000 individu pada satu masa sebagai antara usaha memperkemas pengurusan kemasukan tenaga kerja asing ke Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pusat transit itu bukan penempatan kekal atau pusat tahanan, sebaliknya berfungsi sebagai lokasi sementara sebelum pekerja asing diambil oleh majikan masing-masing.
“Sebenarnya kita belum buat kajian sebab ini adalah keputusan Kabinet yang baharu. Tetapi berdasarkan pengetahuan dan pengalaman kita, mungkin sasaran antara 1,000 hingga 2,000 pekerja yang kita perlu tempatkan di situ," katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.
Ramanan berkata, konsep “fast in, fast out” menjadi teras operasi pusat berkenaan bagi memastikan pekerja asing tidak berada lebih lama daripada tempoh diperlukan.
“Asalkan semua dokumen lengkap, tiada isu, prosesnya akan cepat. Yang mungkin mengambil masa hanyalah kes-kes tertentu yang mempunyai masalah dokumentasi atau lain-lain,” jelasnya.
Menurut beliau, penubuhan pusat transit itu bertujuan mengatasi isu pengurusan pekerja asing, termasuk mengurangkan kesesakan di lapangan terbang dan memastikan pekerja berkenaan diambil oleh majikan yang membuat permohonan.
“Kita tidak mahu mereka keluar dari lapangan terbang, kemudian sepatutnya pergi bekerja dengan majikan A tetapi akhirnya pergi kepada majikan B atau C, ataupun datang ke sini dan berkeliaran,” katanya.
Jelasnya lagi, lokasi pusat transit itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan kerana kerajaan sedang memperincikan pelaksanaannya, buat waktu ini kerajaan mungkin menggunakan infrastruktur bangunan sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata KESUMA akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tempoh terdekat.
Ini bagi memperincikan aspek logistik dan pengoperasian pusat transit serta pemindahan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) ke bawah KESUMA.
Mengulas peranan KDN selepas OSC dipindahkan, Ramanan menegaskan aspek keselamatan negara kekal menjadi tanggungjawab kementerian itu.
“Kalau KESUMA memberikan permohonan, KDN masih mempunyai hak mutlak untuk menolak jika melibatkan isu keselamatan atau rekod jenayah pekerja asing tersebut. Aspek keselamatan tetap jadi keutamaan,” katanya.