KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia membawa pulang seramai 755 rakyat Malaysia yang berada di Rusia sekiranya keselamatan mereka terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ketika ini kerajaan memantau rapi perkembangan ketegangan yang berlaku di negara itu terutamanya di Moscow.

"Namun pada masa sama, kerajaan melalui Wisma Putra sudah atur usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia di sana sekiranya perlu pada bila-bila masa.

"Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ada memberi taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya sendiri, jadi kita pantau dahulu situasi di sana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Presiden FBINAA Antarabangsa Tim Braniff; Penolong Pengarah Divisyen Operasi Antarabangsa FBI Raymond P Duda; Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Brian D McFeeters dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor.

Media sebelum ini melaporkan Rusia mengisytiharkan operasi memerangi pengganas di Moscow dan wilayahnya pada Sabtu dengan ketegangan semakin memuncak selepas kumpulan upahan Wagner, yang diketuai Yevgeny Prigozhin, juga pernah menjadi sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin, melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan tentera Rusia.

-- BERNAMA