KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersedia menyalurkan bantuan kewangan bagi pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang merangkumi kawasan wilayahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KETENGAH Holding Sdn Bhd, Zaid Sulaiman berkata langkah yang dilakukan itu bagi membantu dan meringankan beban ahli keluarga mangsa susulan jangkitan berkenaan.

Katanya bantuan yang disalurkan itu adalah sumbangan daripada keuntungan operasi anak syarikat di bawah KETENGAH.

"Setakat ini kita hadkan kepada RM700 dahulu tapi sekiranya ada keperluan yang lebih maka kita akan semak semula.

"Peruntukan ini adalah daripada sumbangan anak syarikat yang meraih keuntungan dan kita kumpul dalam tabung CSR kita," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menilai keperluan lain yang diperlukan dalam usaha membantu penduduk yang terjejas.

Sebelum ini KETENGAH juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu melancarkan urusan pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dalam kalangan penduduk di tiga wilayahnya.

Jawatankuasa khas dinamakan ‘Stay Safe-KETENGAH Region’ (S-Reg) yang dianggotai 200 sukarelawan itu giat turun padang ke Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu untuk membantu penduduk yang berdepan kekangan menggunakan aplikasi tersebut.