GEORGE TOWN: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menyeru ahli-ahli politik khususnya di peringkat akar umbi supaya mengetepikan perbezaan politik dan berganding bahu membantu kerajaan dalam memastikan kelancaran proses pemberian vaksin kepada rakyat.

Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, jika lebih ramai pihak yang membantu sama ada dari segi pendaftaran vaksinasi atau menyediakan kenderaan bagi golongan yang tidak berupaya, ia akan mempercepat pemberian vaksin sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok.

"Saya hendak menyeru parti politik, sama ada Pemuda UMNO atau DAP, untuk membantu kerana ini merupakan misi yang melangkaui parti," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Spice di sini, hari ini.

Menurutnya, Armada telah mengaktifkan 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela' untuk membantu petugas di PPV seluruh negara, dengan ahlinya akan mewakafkan 100 jam di bahagian masing-masing untuk menjadi sukarelawan tanpa bayaran.

Sukarelawan ini akan membantu dari semua segi yang berkaitan dengan kerja-kerja pemberian vaksin, termasuk menghubungi dan membantu golongan Orang Kurang Upaya untuk ke PPV serta pendaftaran MySejahtera di Pojek Perumahan Rakyat dan kampung-kampung.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata kementerian itu telah menerima 105,743 permohonan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) setakat semalam dan menjangkakan lebih ramai sukarelawan diperlukan apabila kerajaan mula meningkatkan kadar vaksinasi harian.

Setakat ini seramai 5,302 sukarelawan MyVac telah ditugaskan di PPV seluruh negara manakala 9,819 sukarelawan bersiap sedia untuk ditugaskan, katanya.

-- BERNAMA