MALAYSIA

Ketersambungan Borneo asas kukuh pertumbuhan serantau - Abang Johari

Bernama 03/02/2026 | 20:30 MYT
Pengukuhan ketersambungan dikenal pasti sebagai asas kukuh pertumbuhan serantau di Borneo, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. - Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Pengukuhan ketersambungan dikenal pasti sebagai asas kukuh pertumbuhan serantau di Borneo, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Sarawak sedang membuat pelaburan berskala besar secara agresif dalam pembangunan infrastruktur, utiliti, dan telekomunikasi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya kerajaan negeri juga sedang mempertingkatkan rangkaian pengangkutan dan logistik, termasuk sistem pengangkutan darat bersepadu, pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu, serta pelabuhan laut dalam baharu bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

"Jiran kami, Indonesia, memiliki pelabuhan terbesar di Kalimantan -- Pelabuhan Antarabangsa Kijing -- yang berfungsi sebagai pintu masuk laut dalam untuk rantau ini dan berpotensi memainkan peranan penting dalam melengkapkan fungsi pelabuhan di Sarawak.

"Secara bersama, pembangunan pelabuhan ini mewujudkan peluang bagi fungsi pelengkap serta meningkatkan keberkesanan ketersambungan jarak jauh ke Asia Timur, Timur Tengah, dan Eropah," katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026 di Jakarta pada Selasa.

Teks ucapan beliau disediakan kepada media di sini.

Abang Johari berkata penyambungan semula penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak bukan sekadar memulihkan laluan udara, tetapi melambangkan pemulihan ketersambungan merentas Borneo, memudahkan pergerakan manusia, idea, dan perusahaan, selain merancakkan perdagangan, pelancongan, pendidikan, dan kerjasama perniagaan.

"Dalam semangat yang sama, Sarawak telah menubuhkan AirBorneo bagi mengukuhkan hubungan udara serantau serta memperluas hubungan terus dari destinasi lain di dunia," katanya.

Menurut Abang Johari, Borneo menempatkan lebih 20 juta penduduk di pulau ketiga terbesar dunia ini, yang merangkumi Sarawak dan Sabah, sebahagian Indonesia dan Brunei, kaya dengan kepelbagaian budaya dan sumber semula jadi.

"Dalam era persaingan global yang meningkat dan ketidaktentuan ekonomi, semangat kerjasama serantau ini lebih penting daripada sebelumnya.

"Arus silang ini menguji bukan sahaja ekonomi domestik kita, tetapi juga tekad kolektif kita untuk terus terbuka dan berhubung sebagai rakan dagang, khususnya dalam ASEAN," katanya.

-- BERNAMA



#ketersambungan #Borneo #Sarawak #abang johari tun open