MALAYSIA

Ketibaan pelawat Turkiye ke Malaysia meningkat 31.8 peratus tahun lalu

Saharudin Musthafa 25/01/2026 | 04:00 MYT
Norlizah optimis, hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye serta peningkatan sambungan penerbangan akan terus menyokong pertumbuhan pelancongan dua hala.
ISTANBUL: Ketibaan pelawat dari Turkiye ke Malaysia terus menunjukkan peningkatan ketara apabila 25,698 pelawat direkodkan dari Januari hingga Ogos 2025, peningkatan 31.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu - sekali gus rekod tertinggi dalam tempoh 15 tahun.

Tourism Malaysia menjangkakan jumlah itu mampu mencecah 30,000 pelawat menjelang akhir tahun ini susulan minat yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dalam kalangan rakyat Turkiye.

Peningkatan itu turut menjadi pemangkin kepada persiapan Tourism Malaysia menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Istanbul, Norlizah Soon Jahaya, pihaknya sedang menggandakan usaha promosi bagi menarik lebih ramai rakyat Turkiye melancong ke Malaysia, khususnya ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka.

Beliau berkata, maklum balas daripada pelancong Turkiye yang pernah berkunjung ke Malaysia amat positif, terutamanya mengenai keramahan rakyat, kebersihan destinasi dan kepelbagaian makanan tempatan, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi yang “sukar dilupakan.”

Norlizah berkata, Tourism Malaysia kini memberi tumpuan kepada pendekatan promosi yang lebih mendalam dengan mengadakan sesi libat urus bersama pengendali pelancongan utama Turkiye bagi membangunkan pakej percutian “value-for-money” merangkumi pengalaman ekopelancongan, warisan budaya dan tarikan moden Malaysia.

Beliau menambah, Malaysia juga mempunyai kelebihan dari segi kemudahan perjalanan mesra Muslim, termasuk akses makanan halal yang meluas, kemudahan ibadah yang mudah, serta suasana yang selamat untuk pelancong keluarga - faktor yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong Turkiye.

"Tourism Malaysia turut memperkukuh kerjasama rentas industri melibatkan syarikat penerbangan, hotel dan taman tema untuk menawarkan lebih banyak insentif perjalanan kepada warga Turkiye.

"Pendekatan kombinasi antara promosi digital, pengiklanan terarah dan kempen pengalaman pelanggan dijangka meningkatkan lagi kesedaran mengenai keunikan Malaysia," kata beliau kepada Astro AWANI dalam satu pertemuan, di sini, baru-baru ini.

Norlizah (barisan depan, dua dari kiri) bersama dengan pemain industri pelancongan, wakil media dan syarikat penerbangan.


Norlizah turut optimis, hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye serta peningkatan sambungan penerbangan akan terus menyokong pertumbuhan pelancongan dua hala.

Beliau yakin Malaysia berpotensi muncul sebagai antara empat destinasi pilihan utama pelancong Turkiye dalam masa terdekat.

Menjelang VM2026, Tourism Malaysia turut merancang kerjasama lebih meluas dengan syarikat pelancongan dan pempengaruh digital Turkiye bagi mengukuhkan kehadiran Malaysia di platform media sosial dan pasaran pelancongan negara itu.





#Tourism Malaysia #Tahun Melawat Malaysia 2026 #VMY2026 #pelancong Turkiye