Ketika banjir melanda, LRA Cheras Batu 11, Langat 2 dihenti tugas, jejas 472 kawasan - Air Selangor

Astro Awani
Disember 19, 2021 05:13 MYT
Akibat penutupan kebanyakan jalan utama berikutan situasi banjir, Air Selangor juga tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berikutan peningkatan paras air sungai yang mengakibatkan banjir, dua Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Cheras Batu 11 dan LRA Langat 2 dihenti tugas manakala LRA Sungai Langat beroperasi pada pengeluaran separa, sekali gus memberi kesan kepada 472 kawasan.
Menurut kenyataan Air Selangor setakat jam 12.30 tengah hari Ahad, LRA Langat 2 dihenti tugas berikutan penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di loji berkenaan.
Manakala di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian.
LRA Cheras Batu 11 pula terpaksa dihenti tugas berikutan banjir.
“Berikutan henti tugas loji-loji rawatan air ini, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” menurut kenyataan itu
Pada masa yang sama, akibat penutupan kebanyakan jalan utama berikutan situasi banjir, Air Selangor juga tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dan premis-premis yang terjejas.
#Air Selangor #loji #air #banjir