NATIONAL

Ketua balai polis positif dadah ketika berhibur dipindahkan ke Pulau Pinang

Umavathi Ramayah 21/04/2025 | 10:27 MYT
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pegawai terbabit yang bertugas di bawah IPK Kuala Lumpur, telah ditukarkan serta-merta ke bilik gerakan IPK Pulau Pinang. - Foto: Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang Ketua Balai Polis di ibu negara yang ditahan selepas disyaki mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya pada Jumaat lalu, dipindahkan serta-merta ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pegawai berusia 43 tahun itu turut berdepan tindakan tatatertib yang sedang diambil oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Menurut beliau, arahan pertukaran pegawai tersebut telah dikeluarkan pada hari yang sama dengan penahanan, namun hanya diterima secara rasmi lewat malam pada 18 April lalu.
Arahan itu katanya, mememerlukan beliau segera melapor diri di kontinjen baharu.
"Pegawai berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib dan siasatan juga dibuat berkaitan jenayah narkotik,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.
Menurut Rusdi, dalam serbuan itu keseluruhan 17 individu ditahan teramsuk pegawai tersebut yang disahkan positif.
Beliau turut memberi jaminan tiada akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbabit dalam salah laku jenayah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan imej PDRM tidak tercalar.
Saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif empat jenis dadah. Difahamkan, pegawai itu dipercayai mengambil sejenis minuman (jus) yang mengandungi bahan terlarang ketika berada di pusat hiburan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan seorang ketua balai polis kantoi mengambil dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya pada Jumaat lalu.
Saringan ujian air kencing mengesahkan terdapat ada empat jenis bahan terlarang dalam tubuh lelaki berusia 43 tahun itu.
Suspek ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ketika berhibur dan dipercayai mengambil jus disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan itu.
#ketua balai polis #positif dadah #pusat hiburan #PDRM #tindakan tatatertib