KOTA BHARU: Polis Kelantan menembak mati dua penjenayah termasuk ketua sebuah kumpulan dikenali sebagai ‘Adik Mat’ dalam satu kejadian berbalas tembakan di sebuah pondok di kebun getah, Kampung Batu Papan, Gua Musang pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kedua-dua penjenayah masing-masing berusia 29 dan 34 tahun itu ditembak mati selepas mereka melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

Serbuan yang dilakukan oleh Unit D9 dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat polis daerah Gua Musang, turut menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan semi auto.

"Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan dan bantuan dari anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

"Selepas menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua suspek melepaskan beberapa das tembakan kearah pasukan serbuan, dalam situasi membalas tembakan dan mempertahankan diri, pasukan serbuan membalas tembakan yang menyebabkan kedua-dua mereka rebah dan mati," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Shafien menjelaskan, kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan samun bersenjata dan juga dadah.

Selain dua pucuk pistol, pihaknya turut menemui lebih 40 butir peluru hidup jenis bolt, 9mm dan .38 serta 1,200 biji pil kuda.

"Dengan tertumpasnya kumpulan 'Adik Mat' ini pihak polis percaya telah dapat menyelesaikan lima hingga lapan kes jenayah samun di negeri ini dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM20,000," katanya dan menambah polis sedang memburu beberapa lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas.

Menurut Shafien lagi, pondok yang diserbu pihak polis itu dijadikan markas atau tempat bersembunyi kerana berada dalam kawasan bukit dan jauh dari jalan luar.

Kedua-dua suspek berkenaan merupakan warga tempatan yang berasal dari Gua Musang.

Kedua-duanya diburu sejak Jun lalu kerana kedua-duanya dianggap penjenayah berbahaya yang sering membuat ugutan jenayah menggunakan senjata api.

Shafien berkata kes sedang disiasat mengikut seksyen 307 Kanun Keseksaan, 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971,8 (A) Akta Senjata Api 1960.