SEPANG: Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Macau Sam Hou Fai berlepas pulang hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Malaysia.
Sam dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dengan menaiki penerbangan Air Macau NX921 pada 5.06 petang.
Turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada Sam, isterinya Wong Ho Peng serta delegasi Macau ialah Ketua Protokol Kerajaan Malaysia Datuk Rozainor Ramli dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Kunjungan berkenaan ialah lawatan kerja pertama Sam ke Malaysia sejak beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif SAR Macau keempat pada 2024.
Pada Khamis, Sam mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Perniagaan SAR Macau di Kuala Lumpur bersama-sama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Semalam, beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memperkasakan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.
Anwar berkata komitmen berkenaan turut merangkumi usaha memanfaatkan kedudukan strategik Macau serta Hengqin yang terhubung dengan Greater Bay Area (GBA) bagi syarikat Malaysia meneroka peluang perniagaan.
Perdana Menteri berkata Malaysia juga bersedia menterjemahkan hubungan yang semakin erat dengan Macau kepada kerjasama praktikal, bermakna dan saling menguntungkan selaras dengan semangat Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan SAR Macau ialah RM367.7 juta (USD85.8 juta), meningkat sebanyak 73.6 peratus berbanding 2024.
-- BERNAMA