Ketua ekspedisi nafi khabar angin kematian dua rakyat Malaysia di Gunung Damavand Iran

Bernama
November 27, 2016 15:55 MYT
Rozaimi menggesa supaya semua pihak bersikap matang dalam berkongsi apa-apa berita yang diterima. - Foto Reuters
Khabar angin berhubung kematian dua pendaki rakyat Malaysia di Gunung Damavand, Iran, hari ini disangkal Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said.
"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya khabar angin itu. Saya juga meminta semua pihak agar kekal tenang dan hentikan penyebaran khabar angin tersebut," katanya dalam kenyataan kepada media.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat kini masih meneruskan misi pencarian di atas gunung itu.
"Anggota keluarga kedua-dua rakan saya yang masih hilang itu ada bersama saya di Reyneh. Mereka merasa amat terganggu dengan khabar angin itu," katanya.
Rozaimi menggesa supaya semua pihak bersikap matang dalam berkongsi apa-apa berita yang diterima.
Dua pendaki itu, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50 dan Ramli Abd Majid, 44, disahkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain. -- Bernama
#Gunung Damarvand #Iran #pendaki hilang