MALAYSIA

Ketua geng samun rumah, premis perniagaan mati berbalas tembakan

Sinar Harian 06/08/2025 | 02:50 MYT
Seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan pada Rabu dalam Ops Api KL 3/2025 di Jalan Bukit Tunku, Kuala Lumpur, pada Rabu. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah yang disyaki ketua geng samun rumah dan pusat perniagaan ditembak mati dalam Ops Api KL 3/2025 di Jalan Bukit Tunku, di sini, pada Rabu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah lampau yang membabitkan kes samun, jenayah kekerasan, dadah dan pecah rumah.

“Suspek bertindak agresif ketika pihak polis cuba memintas kereta BMW yang dipandunya bagi tujuan pemeriksaan.

“Suspek turut melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Suspek bertindak agresif ketika pihak polis cuba memintas kereta BMW yang dipandunya bagi tujuan pemeriksaan.



Fadil berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek memandu kenderaan BMW dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Semakan lanjut mendapati tiada rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan kenderaan itu dipercayai diseludup masuk dari luar negara.

“Hasil pemeriksaan, kita turut merampas vest polis, sepucuk pistol jenis revolver yang dipercayai digunakan oleh penjenayah, serta beberapa peralatan pecah rumah dan dadah,” katanya.

Fadil berkata, kumpulan tersebut aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah serta samun sejak tahun lalu di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak melibatkan kerugian lebih RM1 juta.

"Kumpulan penjenayah yang terdiri daripada belasan individu itu menyasarkan kediaman persendirian atau rumah yang mempunyai peti keselamatan, sebelum melarikan 'gold bar' dan wang tunai, selain dipercayai menyamar sebagai polis.

"Kita percaya kumpulan itu terbabit dalam sindiket pengedaran dadah. Kita sedang memburu dan mengesan saki-baki suspek," katanya. - Sinar Harian


#jenayah #ketua geng samun #mati ditembak #Jalan Bukit Tunku #berbalas tembakan