Ketua Hakim Negara ikrar penyelesaian kes komersial lebih pantas

Wan Ahmad Farid berkata badan kehakiman bercadang untuk menubuhkan mahkamah komersial berasingan di Kuala Lumpur bagi memastikan pertikaian komersial dikendalikan oleh hakim yang pakar dalam bidang berkenaan. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkongsi rancangan badan kehakiman untuk mewujudkan mahkamah tambahan bagi Mahkamah Komersial di Kuala Lumpur bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan memudahkan penyelesaian kes komersial dengan lebih pantas.
Ringkasan AI
- Ketua Hakim Negara mendedahkan rancangan badan kehakiman untuk menubuhkan mahkamah tambahan bagi Mahkamah Komersial di Kuala Lumpur bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta memudahkan penyelesaian kes komersial dengan lebih cepat.
- Rancangan tersebut merangkumi penambahan hakim komersial pakar dalam bidang undang-undang komersial di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dijangka sekurang-kurangnya lapan hingga 10 hakim akan dilantik menjelang tahun depan.
- Selain itu, badan kehakiman juga merancang membenarkan hakim kanan Mahkamah Sesyen mendengar kes tambahan mahkamah keluarga di luar petisyen bersama, dengan tujuan mengurangkan kes tertunggak dan memberi lebih ruang untuk mengendalikan perkara rumit.
Wan Ahmad Farid berkata badan kehakiman bercadang untuk menubuhkan mahkamah komersial berasingan di Kuala Lumpur bagi memastikan pertikaian komersial dikendalikan oleh hakim yang pakar dalam bidang berkenaan.
"Harapan saya menjelang tahun depan, kita akan mempunyai sekurang-kurangnya lapan hingga 10 hakim komersial (pakar dalam bidang undang-undang komersial) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga melihat kemungkinan untuk membenarkan hakim kanan Mahkamah Sesyen mendengar kes tambahan mahkamah keluarga di luar petisyen bersama.
Kini, hanya terdapat satu mahkamah keluarga yang mengendalikan urusan perceraian sivil di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
"Dengan mengambil kira pilihan ini, Hakim Mahkamah Keluarga di Mahkamah Tinggi akan mempunyai lebih banyak ruang untuk mengendalikan perkara rumit, sekali gus mengurangkan kes tertunggak.
"Kami sedang merancang untuk memberi lebih kuasa kepada hakim-hakim kanan Mahkamah Sesyen terpilih untuk mengendalikan perkara lain, kerana dalam Seksyen 2 Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) membenarkan Yang Dipertuan Agong, dengan nasihat Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak untuk memberi kuasa kepada hakim Mahkamah Sesyen untuk mendengar perkara lain, bukan hanya petisyen," katanya.
Ketua hakim itu turut mendedahkan rancangan badan kehakiman untuk menubuhkan mahkamah baharu di Shah Alam dan akan mula mengenal pasti lokasi yang sesuai tidak lama lagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


