Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

Ketua Hakim Negara ikrar penyelesaian kes komersial lebih pantas

Bernama 05/12/2025 | 14:30 MYT
Wan Ahmad Farid berkata badan kehakiman bercadang untuk menubuhkan mahkamah komersial berasingan di Kuala Lumpur bagi memastikan pertikaian komersial dikendalikan oleh hakim yang pakar dalam bidang berkenaan. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkongsi rancangan badan kehakiman untuk mewujudkan mahkamah tambahan bagi Mahkamah Komersial di Kuala Lumpur bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan memudahkan penyelesaian kes komersial dengan lebih pantas.


Ringkasan AI
  • Ketua Hakim Negara mendedahkan rancangan badan kehakiman untuk menubuhkan mahkamah tambahan bagi Mahkamah Komersial di Kuala Lumpur bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta memudahkan penyelesaian kes komersial dengan lebih cepat.
  • Rancangan tersebut merangkumi penambahan hakim komersial pakar dalam bidang undang-undang komersial di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dijangka sekurang-kurangnya lapan hingga 10 hakim akan dilantik menjelang tahun depan.
  • Selain itu, badan kehakiman juga merancang membenarkan hakim kanan Mahkamah Sesyen mendengar kes tambahan mahkamah keluarga di luar petisyen bersama, dengan tujuan mengurangkan kes tertunggak dan memberi lebih ruang untuk mengendalikan perkara rumit.


"Kebebasan badan kehakiman membina keyakinan pelabur, apabila mereka merasakan badan kehakiman bebas, mereka yakin untuk melabur di negara kita dan itu yang paling penting.

"Kami akan mempertingkatkan Mahkamah Komersial dengan melantik lebih ramai hakim untuk menyelesaikan pertikaian dan menyampaikan keputusan dalam kes komersial secepat mungkin," katanya kepada media semasa sesi temu bual yang diadakan sempena 100 hari beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara di pejabatnya di Istana Kehakiman.

Wan Ahmad Farid berkata badan kehakiman bercadang untuk menubuhkan mahkamah komersial berasingan di Kuala Lumpur bagi memastikan pertikaian komersial dikendalikan oleh hakim yang pakar dalam bidang berkenaan.

"Harapan saya menjelang tahun depan, kita akan mempunyai sekurang-kurangnya lapan hingga 10 hakim komersial (pakar dalam bidang undang-undang komersial) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga melihat kemungkinan untuk membenarkan hakim kanan Mahkamah Sesyen mendengar kes tambahan mahkamah keluarga di luar petisyen bersama.

Kini, hanya terdapat satu mahkamah keluarga yang mengendalikan urusan perceraian sivil di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

"Dengan mengambil kira pilihan ini, Hakim Mahkamah Keluarga di Mahkamah Tinggi akan mempunyai lebih banyak ruang untuk mengendalikan perkara rumit, sekali gus mengurangkan kes tertunggak.

"Kami sedang merancang untuk memberi lebih kuasa kepada hakim-hakim kanan Mahkamah Sesyen terpilih untuk mengendalikan perkara lain, kerana dalam Seksyen 2 Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) membenarkan Yang Dipertuan Agong, dengan nasihat Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak untuk memberi kuasa kepada hakim Mahkamah Sesyen untuk mendengar perkara lain, bukan hanya petisyen," katanya.

Ketua hakim itu turut mendedahkan rancangan badan kehakiman untuk menubuhkan mahkamah baharu di Shah Alam dan akan mula mengenal pasti lokasi yang sesuai tidak lama lagi.

-- BERNAMA


#Ketua Hakim Negara #penyelesaian kes komersial #Badan Kehakiman #Mahkamah Komersial