Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif serta Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad meletakkan kedua-dua jawatan mereka selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun lalu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata, Raus dan Zulkefli dimaklumkan telah menghantar surat peletakan itu pada 7 Jun lalu selain peletakan berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 31 Julai ini.

"Selaras dengan pertimbangan sedemikian, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 dan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 31 Julai 2018.

“Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun 2018 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun 2018,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, pada 15 Mei Raus dan Zulkefli berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan tujuan peletakan jawatan mereka.