Skip to main content

Dunia

Ketua IEA beri amaran pasaran tenaga global berdepan “ketidakstabilan”

fatih birol, AP
Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol pada Khamis memberi amaran bahawa pasaran tenaga global telah memasuki tempoh turun naik, menjanjikan pelepasan rizab strategik tambahan jika gangguan bekalan berterusan. - Gambar fail/AP

TORONTO: Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol pada Khamis memberi amaran bahawa pasaran tenaga global telah memasuki tempoh turun naik, menjanjikan pelepasan rizab strategik tambahan jika gangguan bekalan berterusan, lapor Xinhua.

“Pada pandangan saya, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah ketidakstabilan. Oleh itu, keselamatan bekalan minyak akan terus menjadi isu penting,” katanya pada Sidang Kemuncak Pertumbuhan Kanada 2026.

Beliau berkata pasaran kini menuju ke “situasi mencabar” susulan perang Iran yang terus menjejaskan pengeluaran berjuta-juta tong minyak setiap hari, sambil menambah sebarang pemulihan bekalan dijangka berlaku secara berperingkat selepas perang berakhir.

Menurut beliau, IEA bersedia melepaskan lebih banyak rizab strategik sekiranya gangguan bekalan berterusan.

Agensi itu sebelum ini telah melepaskan 20 peratus daripada rizab minyak yang tersedia bagi mengurangkan kenaikan harga.

Birol turut menggesa Kanada, pengeluar minyak keempat terbesar dunia supaya mempelbagaikan destinasi eksport tenaganya, sambil menyatakan negara yang mencari rakan tenaga yang boleh dipercayai susulan perang Iran akan melihat Kanada sebagai pilihan utama.

Semasa lawatannya ke Kanada, Birol bertemu Perdana Menteri Kanada Mark Carney serta pegawai kanan kerajaan di Ottawa bagi membincangkan krisis tenaga.

Perbincangan tertumpu kepada kesan gangguan di Selat Hormuz dan potensi Kanada untuk muncul sebagai pengeksport tenaga global utama bagi menampung kekurangan bekalan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video