KUCHING: Ketua-ketua institusi agama di Sarawak menyuarakan sokongan penuh mereka kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha menghentikan penularan wabak tersebut.

Sokongan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan melalui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Ketua Menteri setelah Kerajaan Negeri bermesyuarat bersama pelbagai ketua institusi agama di Sarawak untuk membincangkan perkembangan program vaksinasi tersebut bagi mengambil sudut pandang agama.

“Majlis Islam Sarawak menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab seseorang untuk menjaga keselamatan diri dengan mengambil vaksin sebagai pencegahan jangkitan virus.

“Ini juga merupakan pendirian institusi agama utama di Sarawak iaitu Persatuan Gereja-gereja Sarawak, Persatuan Kristian Evangelis Sarawak, Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak, Majlis Hindu Sangam Sarawak, Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Majlis Rohani para Baha'i  Sarawak dan Persatuan Hokkien Kuching yang mewakili penganut Taois.” jelas kenyataan itu.

Justeru mereka menyeru agar orang ramai menyokong program imunisasi tersebut untuk sama-sama menjayakan misi mencapai imuniti kelompok.

“Kita harus berdiri sebagai satu, tidak kira apa bangsa atau kepercayaan yang kita wakili, sebagai tindak balas terhadap pandemik ini kerana ia tidak membeza-bezakan bangsa atau agama. Oleh itu, daftarkan diri anda dan dapatkan vaksin tersebut.” katanya.