MALAYSIA
Ketua Menteri minta prosedur kerja jalan dikaji semula
Chow meminta pihak berkaitan agar mengkaji semula prosedur kerja kerana tindakan menutup jalan sepenuhnya tanpa menyediakan laluan alternatif. - Gambar fail Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri telah berjumpa dengan kontraktor terlibat bagi mendapatkan penjelasan segera berhubung insiden penutupan jalan tanpa laluan keluar hingga menyukarkan pergerakan penduduk di kawasan Mount Pleasure di sini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran mengadakan pertemuan dengan kontraktor semalam untuk mengetahui keadaan sebenar.
"Mereka pun menyampaikan permohonan maaf kepada pekerja kontraktor dan harap kontraktor pun terima, mungkin ada kelemahan mengapa jalan disekat tanpa ada laluan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran dan Forum WaterTech Asia 2025 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), di sini, pada Rabu.
Chow juga meminta pihak berkaitan agar mengkaji semula prosedur kerja kerana tindakan menutup jalan sepenuhnya tanpa menyediakan laluan alternatif tidak sepatutnya berlaku dan boleh menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan kepentingan kecerdasan emosi (EQ) dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini ketika berdepan situasi melibatkan penduduk.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 39 saat yang memaparkan pertengkaran mulut antara Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dengan seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di kawasan Mount Pleasure, sejak Selasa.
Sementara itu, Jagdeep dalam kenyataan menjelaskan, tindakan berang itu tercetus selepas mendapati kedua-dua laluan utama di kawasan berkenaan disekat oleh dua kren besar, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk di Sea Range Tower dan Seaview Garden terkandas.
"Walaupun penutupan jalan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan kerja yang dijadualkan, kesan terhadap aliran trafik dan pergerakan harian orang ramai tidak diambil kira oleh kontrakor berkenaan.
"Bayangkan kesulitan dan bahaya ditimbulkan kepada warga emas serta kanak-kanak yang tidak mempunyai pilihan selain berjalan di laluan berbukit sama ada untuk keluar atau sampai ke rumah mereka," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata, sebagai wakil rakyat, menjadi kewajipannya untuk bersuara apabila kehidupan rakyat terjejas dan bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf atas kesulitan dialami penduduk.
-- BERNAMA