NATIONAL
Ketua PBB hubungi India, Pakistan susulan ketegangan memuncak

Kakitangan Persatuan Perguruan Universiti Karachi mengadakan demonstrasi menentang penggantungan perjanjian pembahagian air antara India dan Pakistan, di Karachi, Pakistan, 28 Apr 2025. (Foto AP)
HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan pegawai tertinggi Pakistan dan India pada Selasa susulan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Setiausaha Agung hari ini menghubungi Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar," menurut kenyataan jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.
Hubungan yang sememangnya tegang antara kedua-dua jiran itu bertambah buruk selepas serangan maut di Kashmir yang ditadbir India minggu lalu, mengorbankan 26 orang.
Guterres sekali lagi mengecam sekeras-kerasnya serangan pengganas pada 22 April di Jammu dan Kashmir serta menekankan kepentingan untuk menegakkan keadilan dan kebertanggungjawapan melalui saluran undang-undang.Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat antara India dan Pakistan, serta menegaskan keperluan untuk mengelakkan konfrontasi yang boleh membawa akibat tragis.
Beliau juga menawarkan peranan "Good Offices" untuk membantu usaha meredakan ketegangan.
New Delhi mendakwa serangan itu mempunyai kaitan rentas sempadan.
Bagaimanapun, Islamabad menafikan penglibatan dalam serangan itu, menyatakan rasa "prihatin" dan menawarkan kerjasama untuk siasatan bebas.
India turut menggantung perjanjian pembahagian air yang berlangsung selama beberapa dekad, iaitu Perjanjian Air Indus, tindakan yang dikecam oleh Islamabad.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami