KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan pertemuan dengan lebih 250 golongan profesional dan penuntut Malaysia dalam bidang perubatan di Edinburgh, Manchester dan London, di United Kingdom, baru-baru ini.

Thomson Hospital Kota Damansara yang menjadi tuan rumah kepada beberapa siri sesi dialog dan perangkaian dalam satu kenyataan berkata sesi berkenaan menyediakan satu peluang yang baik untuk diaspora perubatan Malaysia mengetahui perkembangan dan situasi terkini sektor perubatan Malaysia, termasuk pandangan daripada industri penjagaan kesihatan swasta.

Dr Noor Hisham berkata beliau berpeluang untuk berkongsi dengan doktor-doktor Malaysia di seberang laut mengenai perubahan yang berlaku dan bagaimana mereka boleh mempertingkatkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia semasa sesi itu.

"Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia berhadapan dengan cabaran hebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi pandemik COVID-19 merupakan rahmat yang terselindung.

"Kami sudah melakukan peningkatan dan inovasi untuk mengatasi cabaran, termasuk memperkenalkan inisiatif digital seperti pemantauan di rumah dan perkongsian awam dan swasta untuk suntikan vaksin.

Kami juga mengambil langkah konkrit untuk menghadapi isu seperti kontrak doktor pelatih dan kesihatan mental," kata beliau dalam kenyataan itu.

Mewakili penyedia penjagaan kesihatan swasta pada sesi berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd Nadiah Wan dan Pengarah Perubatan Thomson Hospital Kota Damansara Datuk Dr Mohd Hamzah Kamarulzaman.

Sementara itu, Dr Mohd Hamzah berkata pertumbuhan dan potensi sektor penjagaan kesihatan di Malaysia selain daripada inisiatif agensi kerajaan seperti Talentcorp dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk membangunkan sektor penjagaan kesihatan Malaysia menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) dan lan-lain turut dikongsi pada sesi berkenaan.

"Doktor dan jururawat kita mendapat permintaan tinggi dari banyak negara tetapi latihan perubatan dan kejururawatan tidak dapat memenuhi permintaan.

"Adalah penting kita melakukan libat urus dengan bakat kita di luar negara untuk melihat bagaimana mereka boleh menyumbang untuk merapatkan jurang ini," katanya.

Selain itu, Nadiah berkata sesi dialog dan perangkaian itu merupakan satu inisiatif untuk bekerja sama seiring Kementerian Kesihatan dengan melakukan libat urus dengan bakat penjagaan kesihatan di mana sahaja dan mempromosi kerjasama dan peluang baharu kepada mereka.

"Dalam sesi itu, kami teruja untuk menyaksikan peningkatan minat untuk bekerjasama dan menyumbang balik bagi mempertingkatkan standard penjagaan kesihatan Malaysia dengan ramai profesional penjagaan kesihatan menzahirkan hasrat mereka untuk kembali berkhidmat di Malaysia," katanya.

TMC Life Sciences Bhd merupakan penyedia penjagaan kesihatan tersenarai ketiga terbesar di Malaysia dengan jenama seperti Thomson Hospital Kota Damansara, TMC Fertility Centres, TMC Care Pharmacy dan Thomson TCM.

-- BERNAMA