KUALA LUMPUR: Komposisi unik Kerajaan Perpaduan menawarkan platform terbaik untuk melakukan pembaharuan ke atas sistem penjagaan kesihatan negara, terutamanya menerusi pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan.

Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Kerajaan Perpaduan seharusnya melaksanakan agenda pembaharuan kesihatan dan tidak mempolitikkannya untuk kebaikan rakyat.

"Segalanya telah diperkatakan dan dipertimbangkan. Biar saya petik satu slogan satu jenama besar sukan untuk meringkaskan apa yang perlu dilakukan, kepimpinan baharu di Kementerian Kesihatan seharusnya, 'Buat Saja'," katanya ketika menjadi ahli panel forum "Build The World We Want A Healthy Future For All" di sini hari ini.

Lain-lain ahli panel forum itu ialah dua bekas Menteri Kesihatan Tan Sri Dr S Subramaniam dan Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.

Khairy berkata masa menunggu dan kualti perkhidmatan di kemudahan kesihatan perlu ditambah baik dan kerajaan semasa dicadangkan supaya meningkatkan perbelanjaannya ke atas penjagaan kesihatan sekurang-kurangnya kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kerajaan seharusnya melihat kesihatan sebagai satu pelaburan, ia bukannya satu perbelanjaan. Jika kita boleh mencapainya hanya selepas itu barulah kita boleh mengadakan perbincangan untuk satu sistem pembiayaan bersama dengan orang awam," katanya.

Sementara itu, Dr S Subramaniam berkata kesihatan seharusnya dikeluarkan daripada domain politik bagi memastikan kesinambungan dasar biarpun berlaku pertukaran kerajaan.

Beliau berkata pengasingan sistem penjagaan kesihatan negara daripada pengaruh politik merupakan satu komponen penting Kertas Putih Kesihatan yang dimulakan ketika Khairy menjadi Menteri Kesihatan.

"Jika kita boleh melakukannya, saya percaya Kertas Putih Kesihatan yang merupakan himpunan usaha-usaha yang dilaksanakan menteri-menteri sebelumnya mampu menangani masalah yang kita hadapi dalam sistem penjagaan kesihatan," kata Dr Subramaniam yang merupakan Menteri Kesihatan dari 2013 sehingga 2018.

Zulkefly yang juga Menteri Kesihatan sebelum Khairy turut senada dengan mereka dan berkata landskap politik semasa juga tidak memberikan pilihan kepada kerajaan memerintah kecuali meneruskan pembaharuan untuk rakyat,

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dalam ucaptamanya berkata Kerajaan Perpaduan seperti diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan dasar sedia ada dan telah dirancang yang memberi manfaat kepada rakyat diteruskan.

"Adalah mustahak untuk kita menggerakkan Kertas Putih Kesihatan itu ke hadapan kerana penting untuk memastikan perlindungan kesihatan universal kepada semua rakyat Malaysia dan menggerakkan negara ke arah mencapai sasaran di bawah Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 3 ( Kesihatan Baik dan Kesejahteraan)," katanya.

-- BERNAMA