Keupayaan seseorang pemimpin dinilai dari kejayaan bentuk institusi keluarga - PM

Astro Awani
November 4, 2023 05:05 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Keupayaan seseorang pemimpin dinilai dari kejayaan membentuk institusi keluarga yang harmoni, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, seorang yang tidak berjaya membentuk keluarga akan dilihat tidak mampu menjadi pemimpin yang baik.
Beliau juga menjelaskan masyarakat Malaysia telah dilatih dari institusi keluarga untuk berkasih sayang dan bersifat rahmah.
"Kadang-kadang orang nilai keupayaan ketua masyarakat, baik penghulu atau ketua kampung apa lagi menteri dinilai juga dari sudut keupayaan mengawal, mendidik, mengasuh, mengasihi keluarga sebagai contoh.
"Kalau keluarganya porak peranda, sukar nak dibentuk masyarakat, kalau keluarganya porak peranda sukar diatur negara kerana orang ini keupayaan menjadi contoh," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada Sabtu.
Jelas beliau, sesebuah negara akan menjadi hebat sekiranya nilai-nilai murni dipupuk bermula dari institusi keluarga.
Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Tema Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Tahun 2023 iaitu “Keluarga Harmoni, Negara MADANI”
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 #BKK 2023 #KPWKM #Keluarga Harmoni Negara MADANI