Skip to main content

Malaysia

Kewangan operator air, pandemik halang sasaran NRW RMK-12 - Fadillah

KUALA LUMPUR, 24 Feb -- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadillah menekankan bahawa pelarasan tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif 2 (TSM 2) bermula 1 Ogos 2025 akan membantu meningkatkan aliran tunai operator air bagi menampung kos operasi dan usaha pengurangan NRW. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan operator air yang tidak begitu mampan serta kesan pandemik COVID-19 dikenal pasti sebagai antara faktor utama menyukarkan pencapaian sasaran kadar air tidak terhasil (NRW) sebanyak 31 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa usaha pengurangan NRW memerlukan pelaksanaan berterusan dan pelaburan yang besar, namun keadaan kewangan operator air yang terbatas menimbulkan cabaran.

Advertisement

“Walaupun kadar tarif sedia ada, ia masih belum mencerminkan kos operasi sebenar, menyebabkan operator air menghadapi kesukaran untuk melaksanakan program pengurangan NRW dengan berkesan. Ini antara punca sasaran 31 peratus sukar dicapai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di ibu negara pada Selasa.

Beliau menambah bahawa pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 turut menjejaskan pelaksanaan Program NRW, menyebabkan sebahagian projek tertangguh dan pencapaian sasaran terganggu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sebab kegagalan mencapai sasaran NRW 31 peratus pada 2025 walaupun peruntukan sebanyak RM2.525 bilion telah disediakan di bawah Belanjawan 2025.

Tuan Ibrahim turut bertanya mengenai langkah pembetulan segera yang diambil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memastikan sasaran NRW 25 peratus dapat dicapai menjelang 2030.

Fadillah berkata,  kementerian telah melaksanakan penambahbaikan melalui Program Pengurangan NRW Kebangsaan Fasa 1 dan 2, termasuk penggantian paip kritikal serta pelaksanaan penyelesaian NRW secara menyeluruh di enam negeri, iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Selain itu, kita terus memberikan imbuhan balik kepada operator air melalui Program NRW Kebangsaan Fasa 2, dengan kadar prorata diperkenalkan untuk menggalakkan penglibatan operator di negeri terbabit,” katanya.

Beliau menambah bahawa melalui inisiatif yang sedang dilaksanakan, sasaran NRW 28.8 peratus diharapkan dapat dicapai menjelang 2030.

Fadillah turut menekankan bahawa pelarasan tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif 2 (TSM 2) bermula 1 Ogos 2025 akan membantu meningkatkan aliran tunai operator air bagi menampung kos operasi dan usaha pengurangan NRW.

“Oleh itu, kerjasama operator air adalah penting bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.
 

Must Watch Video