Skip to main content

Malaysia

‘Kewangan perlu berkhidmat kepada manusia, bukan manusia diperhambakan’ – PM Anwar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Zulkifli Hasan hadir ke Persidangan Meja Bulat Cendikiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 di InterContinental Hotel Kuala Lumpur.- Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Zulkifli Hasan hadir ke Persidangan Meja Bulat Cendikiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 di InterContinental Hotel Kuala Lumpur.- Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sistem kewangan perlu berfungsi untuk berkhidmat kepada manusia dan bukan sebaliknya sehingga manusia diperhambakan oleh kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu semakin penting ketika dunia berdepan ketidakstabilan ekonomi, ketegangan geopolitik serta jurang ketidaksamaan yang semakin meluas.

“Persoalan yang berada di hadapan kita hari ini bukan sekadar bersifat teknikal. Ia adalah persoalan moral, bagaimanakah cara untuk kita memastikan bahawa kewangan itu berfungsi untuk berkhidmat kepada kemanusiaan dan bukannya kemanusiaan yang diperhambakan oleh kewangan.

“Keadilan, ketelusan dan akauntabiliti perlu kekal menjadi nadi utama dalam institusi ekonomi dan kewangan, selaras dengan tuntutan moral dalam Islam,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Zulkifli Hasan, pada Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa 2026 (iSHAR 2026), di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, kerangka Malaysia MADANI turut menuntut keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab moral serta antara keuntungan dan matlamat murni.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar iSHAR tidak hanya menjadi medan perbincangan, sebaliknya menghasilkan tindakan yang memberi kesan nyata kepada masyarakat.

Beliau berkata, segala idea dan cetusan pemikiran yang dihasilkan menerusi platform berkenaan perlu diterjemahkan kepada dasar, produk serta amalan yang mampu mengangkat martabat dan membela masyarakat.

“Marilah kita melangkah melangkaui sempadan dialog. Marilah kita melonjakkan usaha ke arah pelaksanaan.

“Tiada sebuah negara, institusi atau cendekiawan mampu mendepani cabaran kewangan Islam secara bersendirian,” ujarnya lagi.

iSHAR 2026 yang dianjurkan Bank Rakyat menghimpunkan cendekiawan dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand serta Filipina bagi membincangkan isu Syariah kontemporari dan masa depan kewangan Islam.

Sehubungan itu, kerjasama strategik antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan dunia akademik perlu diperkukuh bagi memastikan kewangan Islam kekal inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Must Watch Video

Advertisement