MALAYSIA

Kewujudan 'lot timbul' jejaskan proses ambil tanah projek LTU, KBKK - KKR

Bernama 11/12/2025 | 11:30 MYT
Alexander berkata lot timbul itu wujud akibat ketidakselarasan antara pelan ukur projek dengan rekod lot hak milik di pejabat tanah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kewujudan 125 lot timbul (newly formed residual lots) di sepanjang jajaran Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) di Kelantan dikenal pasti sebagai antara isu utama yang menjejaskan proses perancangan serta pengambilan tanah bagi projek berkenaan.


Ringkasan AI
  • Kewujudan 125 lot timbul di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kelantan menjejaskan proses perancangan dan pengambilan tanah bagi projek berkenaan.
  • Lot timbul itu wujud akibat ketidakselarasan antara pelan ukur projek dengan rekod lot hak milik di pejabat tanah, meningkatkan jumlah keseluruhan pengambilan tanah kepada 1,724 lot setakat 12 Nov lepas.
  • Projek-projek pembangunan seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai serta pembangunan sistem pengurusan bantuan kebajikan diwarnai dengan cabaran yang memerlukan penyelesaian holistik bagi manfaat masyarakat.


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini, berkata lot timbul itu wujud akibat ketidakselarasan antara pelan ukur projek dengan rekod lot hak milik di pejabat tanah.

Katanya situasi itu mewujudkan pecahan atau sisa lot yang tidak direkodkan secara rasmi, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan pengambilan tanah kepada 1,724 lot setakat 12 Nov lepas, berbanding 1,599 lot yang dirancang sebelum ini.

"Penambahan lot timbul ini membawa implikasi kewangan kerana ia meningkatkan kos keseluruhan projek, khususnya melibatkan penyediaan pelan pengambilan baharu, urusan pewartaan semula, kerja ukur tambahan serta potensi kenaikan kos pampasan tanah," katanya.

Sehubungan itu, Alexander berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk membentangkan isu berkenaan, selain memohon kerajaan negeri meneliti perkara itu dan merangka penyelesaian holistik bersama agensi berkaitan.

Alexander turut memaklumkan projek KBKK sepanjang 70.4 kilometer (km) kini mencapai kemajuan fizikal 60.42 peratus, manakala LTU yang dibina sepanjang 299.4 km merekodkan kemajuan sekitar 75.96 peratus setakat Oktober lepas.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika menggulung perbahasan berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (SPBK) bagi memperkukuhkan penyelarasan bantuan kebajikan.

Beliau berkata sistem itu akan berfungsi sebagai platform bersepadu yang mengintegrasikan data antara agensi pemberi bantuan bagi mengelakkan pertindihan permohonan, sekali gus dapat memastikan bantuan disalurkan secara lebih telus, bersasar dan efisien kepada golongan yang layak.

"Pada ketika ini, sebanyak 15 JKM negeri dan 105 buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, jajahan atau bahagian berfungsi sebagai pusat perkhidmatan bersemuka untuk memudahkan proses permohonan bantuan serta penyampaian maklumat kepada rakyat.

"Melalui program turun padang, pasukan JKM turut digerakkan ke lokasi komuniti seperti masjid, dewan orang ramai dan pusat tumpuan setempat bagi memastikan perkhidmatan kebajikan dapat dicapai secara inklusif dan mesra rakyat," katanya.

Selain itu, katanya, kementerian turut memperkukuh kerjasama dengan penggerak komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), penghulu dan tuai rumah bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang masih belum menerima bantuan agar tiada golongan terpinggir daripada perhatian kerajaan.

-- BERNAMA



#KKR #Alexander Nanta Linggi #LTU #KBKK