Skip to main content

Malaysia

Khairul Aming cipta rekod RM2.3 juta jualan sehari di TikTok Shop

Khairul Aming Threads
Pencapaian terbaharu ini mengatasi rekod-rekod beliau sebelum ini, termasuk kejayaan menjual produk 'Dendeng Nyet Berapi' bernilai RM1.2 juta dalam masa hanya beberapa minit pada awal tahun lalu. -Foto X

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming sekali lagi melakar sejarah apabila mencatatkan rekod jualan strim langsung (livestream) tertinggi di TikTok Shop Malaysia dengan nilai jualan mencecah RM2.3 juta dalam tempoh sehari.

Kejayaan luar biasa itu dikongsikan oleh Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, melalui platform media sosialnya hari ini.

Advertisement

"Alhamdulillah, kita pecah rekod baharu hari ini. Jualan tertinggi dalam sejarah livestream TikTok Shop Malaysia dengan RM2.3 juta hari ini. Terima kasih semua," tulisnya.

 

 

Sesi penyiaran langsung yang mencatatkan rekod tersebut dijalankan di restoran beliau, Rembayung, yang kini berfungsi sebagai lokasi livestream terbesar di Malaysia dengan sokongan 10 hos bersama.

Pencapaian terbaharu ini mengatasi rekod-rekod beliau sebelum ini, termasuk kejayaan menjual produk 'Dendeng Nyet Berapi' bernilai RM1.2 juta dalam masa hanya beberapa minit pada awal tahun lalu.

Selain kejayaan komersial, siri popular beliau '30 Hari 30 Resipi' yang sinonim dengan kedatangan bulan Ramadan turut kembali mendapat sambutan hangat daripada pengikut setianya di seluruh negara.

Rekod ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Khairul Aming sebagai antara pencipta kandungan paling berpengaruh di Malaysia, menggabungkan kreativiti, komuniti dan strategi perniagaan digital yang berkesan.

Must Watch Video