KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoalkan keputusan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan yang tidak berucap di sidang kemuncak Dialog Shangri-La di Singapura pada hujung minggu lalu.

Kata bekas Menteri Kesihatan itu, amat penting untuk negara merebut peluang menyuarakan pendirian di pentas dunia memandangkan Asia Pasifik berdepan pelbagai isu yang seharusnya melibatkan suara negara.

“Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan hadir tetapi dia telah memilih untuk tidak berucap.

“Saya mendapat kepastian daripada penganjur bahawa memang slot ditawarkan kepada beliau untuk berucap, namun beliau tidak mengambil slot tersebut,” kata Khairy dalam siri podcast Keluar Sekejap pada Isnin.

Beliau membandingkan Mohamad dengan bekas Menteri Pertahanan seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohamad Sabu yang tidak melepaskan peluang untuk berucap di pentas sidang tersebut.

“Zaman dahulu, saya check Datuk Seri Hishammuddin Hussein setiap kali pergi Dialog Shangri-La akan berucap. Even Mat Sabu pun berucap.

“Sekarang, adalah sangat penting untuk kita menyatakan pendirian secara public sebab kalau tidak, we are not in the conversation,” ujarnya.

Dalam siaran podcast tersebut, Khairy dan bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan merujuk kepada beberapa isu geopolitik semasa seperti pertikaian di Laut China Selatan dan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Taiwan.

Pada Dialog Shangri-La di Singapura minggu lalu, Mohamad mengadakan beberapa pertemuan bersama pemimpin pertahanan negara lain, termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin.