Skip to main content

Malaysia

Khaled jumpa rakan sejawat Norway bincang sekatan peluru berpandu

KLUANG, 12 Mei -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Peluncuran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu Tiga hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Peluncuran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Kem Batu Tiga hari ini. - Foto Bernama

KLUANG: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu anti-kapal (NSM) kepada Malaysia.

Beliau berkata pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan dan rasa terperanjat kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset berkenaan, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lepas.

“Ia sangat malang apabila kita telah menandatangani kontrak pembelian peluru berpandu daripada Norway sejak 2018. Sepatutnya bulan Mac lepas peluru berpandu itu dihantar bagi melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS) kita serta KD Lekiu dan KD Jebat.

“… tetapi beberapa hari sebelum tarikh penghantaran, tanpa ada ‘ribut dan taufan’, kerajaan Norway beritahu mereka tidak akan memberikan lesen memasarkan produk itu setelah lapan tahun kita beli. Tentulah ia memeranjatkan kita, tentulah ia menjejaskan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini. 

Mohamed Khaled berkata tindakan itu tidak mencerminkan hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia kini sedang menggunakan saluran diplomatik di pelbagai peringkat termasuk hubungan antara Perdana Menteri dan Menteri Luar kedua-dua negara bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Oleh kerana perkara ini masih diuruskan melalui diplomasi, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut buat masa ini,” katanya. 

Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video