Khalid bertegas laksana Kidex, tidak akan tunduk kepada desakan

Bernama
Jun 7, 2014 00:32 MYT
KHALID: Tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak. -Gambar fail
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi pendirian untuk meneruskan projek lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) dan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak.
Katanya dalam soal pembangunan, semua pihak harus mengutamakan kepentingan rakyat, bukan hanya mengkritik demi perjuangan politik.
"Adalah baik untuk kita mendengar penerangan bagaimana perancangan untuk selesaikan kesesakan jalan raya hari ini dan 20 tahun akan datang.
"Sebagai profesional, saya tidak boleh buat keputusan atas desakan hanya berlandaskan pemikiran politik saja tetapi kena ambil kira kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo baru-baru ini yang menyelar sikap Menteri Besar itu kerana mahu meneruskan pembinaan Kidex yang dirancang di Petaling Jaya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Abdul Khalid berkata pihaknya telah membuat penambahbaikan SOP, namun perlu ada pembaharuan dari segi pelaksanaan.
"Kita akan adakan bengkel kepada pegawai penguat kuasa Jais agar kita dapat jalankan tugas dengan betul serta tidak menyusahkan rakyat," katanya.
Media baru-baru ini melaporkan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya selepas menerima aduan orang awam bahawa pengantin wanita beragama Islam.
#Abdul Khalid Ibrahim #kidex #Lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara #Menteri Besar Selangor